Berita Terkini

Program Kerjasama Teknikal Malaysia (PKTM): Kursus Latihan Pengurusan bagi Kakitangan Ambilan Tempatan 2016

mtcp kat main

Kakitangan Ambilan Tempatan (KAT) merupakan sumber manusia yang penting bagi Perwakilan Malaysia di luar negara. Memastikan KAT sentiasa cekap dalam melaksanakan tugas mereka adalah penting bagi mana-mana Perwakilan kita di luar negeri. Oleh itu, IDFR dengan kerjasama Bahagian Inspektorat, Wisma Putra buat pertama kali telah menganjurkan Kursus Latihan Pengurusan bagi KAT 2016 di bawah Program Kerjasama Teknikal Malaysia (PKTM). Seramai 25 orang KAT dari 25 Perwakilan Malaysia di 17 buah negara – Brunei Darussalam, Bangladesh, Cambodia, China, India, Indonesia, Laos, Myanmar, Nepal, Pakistan, Papua New Guinea, Filipina, Singapura, Sri Lanka, Timor-Leste, Thailand, and Vietnam – telah menghadiri kursus ini yang telah diadakan pada 26 September hingga 7 Oktober 2016.

Kursus ini bertujuan untuk melatih KAT dalam aspek pengurusan pejabat, agar mereka dapat mengadakan latihan dalaman kepada KAT yang lain di Perwakilan masing-masing. Tujuan lain kursus ini juga adalah untuk memperkenalkan masyarakat serta budaya Malaysia kepada para peserta.

Antara modul pembelajaran yang telah diadakan adalah: 
i. Peranan dan Fungsi KAT; 
ii. Hal-hal Perkhidmatan KAT; 
iii. Pengenalan kepada Sistem Perakaunan Luar Negeri (SPLN);
iv. Pengurusan Keselamatan di Perwakilan; 
v. Pengurusan Fail di Perwakilan;
vi. Bantuan Konsular di Perwakilan;
vii. Pengenalan kepada Program Kerjasama Teknikal Malaysia (PKTM);
viii. Komunikasi Asas Bahasa Melayu; dan 
ix. Hal-hal Protokol Berkaitan Pengurusan Lawatan Rasmi. 
Para peserta juga berpeluang untuk mengenali sejarah serta budaya Malaysia yang kaya menerusi lawatan ke Bandaraya Bersejarah Melaka dan lawatan sekitar Putrajaya dan Kuala Lumpur.

Majlis Penutup serta Penyampaian Sijil telah diadakan pada 7 Oktober 2016. YBhg. Datuk Salman Ahmad, Ketua Pengarah IDFR telah menyampaikan ucapan alu-aluan, diikuti oleh YBhg. Datuk Mat Dris Hj Yaacob, Timbalan Ketua Setiausaha Khidmat Pengurusan, Wisma Putra yang menyampaikan Ucapan Penutup Kursus serta sijil kepada para peserta. Encik Naeem Sabir Virk dari Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Islamabad, Pakistan kemudiannya menyampaikan ucapan penghargaan bagi pihak peserta kursus. Turut hadir ke majlis tersebut adalah pegawai kanan dari Wisma Putra, IDFR dan Pusat Serantau Asia Tenggara Bagi Mencegah Keganasan (SEARCCT).

                                        mtcp kat 1     mtcp kat 2

Dilaporkan oleh:
Cik Sarah Zahirah Ruhama
Pusat Kajian Politik dan Diplomasi Ekonomi (PSED)

Cetak