Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR) dan Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) telah bersama-sama menganjurkan Modul Hubungan Antarabangsa Bagi Peserta Diploma Pengurusan Awam 2/2010 pada 23 Mei - 3 Jun 2011. Dengan objektif untuk membina pemikiran global, pegawai-pegawai Malaysia tersebut dilengkapi dengan ilmu dalam pelbagai bakat, pengetahuan dan kemahiran bidang diplomasi, yang mana pihak IDFR telah menguruskan penyediaan kuliah akademik termasuk dengan penglibatan pihak Kementerian Luar Negeri, fasilitator-fasilitator dari IDFR, kementerian dan jabatan lain berdasarkan isu-isu berkenaan hubungan antarabangsa dan diplomasi.
Antara program utama dalam Modul Hubungan Antarabangsa (International Relations- IR) ialah penyampaian ucapan oleh Y.Bhg. Dato' Ku Jaafar Ku Shaari, Ketua Pengarah IDFR, dalam satu majlis makan malam, bertajuk “Pengalaman Seorang Diplomat”. Intipati ucapan beliau adalah berkaitan dengan galakan perkongsian pengetahuan berkenaan isu-isu diplomasi tempatan dan antarabangsa. Beliau turut membicarakan mengenai takrif-takrif diplomasi, peranan seorang diplomat Malaysia serta berkongsi pengalaman luas beliau ketika berkhidmat sebagai Duta dan Pesuruhjaya Tinggi di pelbagai negara.
Selain daripada itu, para peserta juga dapat mendengar ucapan oleh Yang Terutama Lyudmila G. Vorobyeva, Duta Extraordinary and Plenipotentiary Russian Federation to Malaysia dan Mr. Scott M. Rauland, Konsular Hubungan dan Acara dari Kedutaan Amerika bagi subjek, Diplomat Dalam Abad ke 21. Semasa sesi tersebut, para peserta turut berpeluang mengadakan perbincangan akademik dan bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu global berasaskan perspektif diplomat asing yang berkhidmat di Malaysia dalam abad ke-21.