Bahagian Khidmat Pengurusan dan Korporat telah menganjurkan Kursus Protokol dan Etiket pada 19 dan 20 Disember 2011 bertempat di Bilik Kuliah, IDFR. Kursus yang dikendalikan oleh Puan Rahimah Yeop, Pengarah Bahagian Pengajian Akademik, Penyelidikan dan Penerbitan ini telah disertai oleh pegawai dan kakitangan IDFR iaitu seramai 23 peserta. Kursus dua hari ini memfokuskan kepada kumpulan penyambut tetamu di samping pegawai dan kakitangan yang terlibat secara langsung dengan protokol dan etiket.
Melalui kursus ini, peserta didedahkan mengenai protokol dan etiket sama ada di dalam majlis rasmi atau tidak rasmi. Pada hari pertama, peserta diberikan pendedahan mengenai panggilan kehormat untuk tetamu kenamaan, protokol dan etika di tempat awam, di rumah, di pejabat, semasa menghadiri majlis dan semasa mengendalikan majlis. Di samping itu, format penulisan surat rasmi yang sebenar juga turut dikongsi di mana ianya dapat memperbetulkan sesuatu yang menjadi kebiasaan yang melibatkan urusan rasmi.
Seterusnya pada hari kedua, para peserta kursus telah di bawa ke Kelab Golf Perkhidmatan Awam, Damansara untuk menjalani sesi simulasi tertib semasa berada di meja makan. Para peserta diberi panduan menggunakan peralatan meja makan dan adab di meja makan. Sebagai kesimpulannya, kursus ini amat berguna kepada pegawai dan kakitangan IDFR memandangkan IDFR sering mengadakan majlis-majlis rasmi yang melibatkan tetamu kenamaan sama ada di dalam negara mahupun dari luar negara.