Persidangan CIO 2012
Persidangan CIO 2012 telah berjaya dijalankan pada 27 September 2012 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. Persidangan ini dianjurkan oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dengan tema 'Nexus of Forces: Convergence of Cloud, Mobility, Social Media and Big Data' dan dirasmikan oleh YBhg. Dato' Sri Dr. Ali Hamsa, Ketua Setiausaha Negara.
Para pegawai dari IDFR telah diketuai oleh YBhg. Ambasador Aminahtun Haji A. Karim selaku Ketua Pegawai Maklumat (CIO) Institut ini. Persidangan ini disertai oleh komuniti ICT dan bukan ICT dari sektor kerajaan dan swasta, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan institusi pengajian tinggi. Persidangan ini juga merupakan satu platform perbincangan dan perkongsian idea dan pengetahuan dalam kalangan mereka, terutama tentang pelaksanaan terkini ICT sektor awam, merangkumi Government Data Centre, Government Unified Communication (1GovUC), MyMesyuarat, Government Online Services and Service Intelligence dan Digital Document Management System (DDMS).
Semasa persidangan, isu-isu produk dan infrastruktur ICT serta kesannya dari segi penyampaian perkhidmatan pihak kerajaan kepada orang awam turut dibincangkan. Kertas kerja turut disampaikan oleh beberapa penceramah dengan bertemakan pelbagai topik, antaranya, Government Cloud Computing: Agility in Service Delivery, E-Health, Government Cloud Computing and Government Data Centre: Consolidating the Future dan Paperless Government using Cloud Technology.
Pada hari yang sama, MAMPU turut menganjurkan Hari Terbuka Transformasi Perkhidmatan Atas Talian dan Infrastruktur ICT Sektor Awam. Satu pameran ICT yang mempamerkan produk dan perkhidmatan ICT dari industri antarabangsa dan tempatan yang tersohor juga diadakan sempena persidangan tersebut. Justeru itu, para peserta mempunyai banyak peluang untuk berinteraksi dengan para pembekal produk dan perkhidmatan ICT semasa pameran tersebut yang diadakan di tempat yang sama.
Sumber photo : Facebook MAMPU