logo ms

Rabu, 28 Februari 2024

faq  |  contact us  |  feedback  |  Peta laman

The ASEAN Anniversary Forum 2012

dsc_1456

ASEAN Anniversary Forum 2012 telah dianjurkan pada pagi ini, 5 Oktober, di IDFR. Dianjurkan bersama-sama oleh IDFR, Sekretariat Kebangsaan ASEAN-Malaysia dan Universiti Teknologi MARA (UiTM), forum tersebut dihadiri oleh para pegawai dari Kementerian Luar Negeri dan agensi kerajaan yang lain, ahli-ahli kor diplomatik, bekas para duta besar Malaysia, wakil-wakil dari kumpulan pemikir, syarikat berkaitan kerajaan dan organisasi bukan kerajaan, ahli kumpulan belia dan para pelajar dari beberapa universiti awam dan swasta.Forum tersebut merupakan salah satu acara tahunan yang diadakan untuk meraikan ulang tahun ASEAN, yang kini memasuki tahun ke-45.

Selepas ucapan aluan disampaikan oleh Tan Sri Mohd. Radzi Abdul Rahman, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, beliau menjemput Senator A. Kohilan Pillay, Timbalan Menteri Luar untuk menyampaikan ucapan bagi pihak Menteri Luar. Senator A. Kohilan Pillay berucap tentang ASEAN Community 2015: A People-Centred ASEAN. Dalam ucapan tersebut, Senator A. Kohilan Pillay menegaskan bahawa penduduk ASEAN adalah aset terpenting dan kita mesti memastikan bahawa mereka terlibat sepenuhnya dalam usaha membina wilayah ini. Beliau turut mencadangkan agar ASEAN melangkau visi “People-Oriented ASEAN” kepada visi “People-Centred ASEAN” yang lebih berani, yang akan menjadi salah satu dasar utama apabila Malaysia mengambil alih jawatan pengerusi pada tahun 2015.

Selepas menikmati hidangan ringan, satu perbincangan panel tentang ASEAN Community 2015: A People-Centred ASEAN telah diadakan. Dimoderasikan oleh Prof. Ruhanas Harun dari Universiti Pertahanan Malaysia, perbincangan tersebut melibatkan penyertaan empat ahli panel yang unggul. Mereka terdiri daripada YAM Tunku Zain Al-‘Abidin ibni Tuanku Muhriz, Presiden Pengasas Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS); Ambasador Dato’ M. Redzuan Kushairi, Timbalan Pengerusi Foreign Policy Study Group (FPSG); Prof. Dr. K.S. Nathan, Pengarah, Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia; dan Encik Bunn Nagara, Penyunting Bersekutu Star Publication. Perbincangan panel tersebut memberi banyak maklumat dan pendedahan serta membuka minda para peserta, dan kemudiannya diikuti oleh satu sesi soal jawab.

Forum tersebut berakhir dengan ucapan penutup oleh Prof. Dato’ Dr. Abdullah Mohamad Said, Pemangku Timbalan Naib Canselor Universiti Teknologi MARA, yang berucap bagi pihak Naib Canselor.

dsc_1460 dsc_1458 dsc_0054