Satu delegasi dari Lembaga Pertahanan Nasional Republik Indonesia (Lemhanas RI) telah membuat lawatan sambil belajar ke IDFR pada hari Isnin 29 Oktober 2012. Lemhanas RI adalah sebuah badan yang bertanggungjawab untuk menganjurkan latihan persiapan kepada kader (pegawai muda) dan juga mengukuhkan kefahaman para pemimpin kepada Pancasila republik berkenaan. Lemhanas juga bertanggungjawab untuk menganjurkan kajian-kajian strategik dan konseptual ke atas isu-isu nasional, serantau dan juga antarabangsa sepertimana yang diperlukan oleh Presiden RI.
Delegasi lawatan ini disertai seramai 27 orang pegawai-pegawai kanan dari pelbagai bidang seperti ketenteraan, kepolisian, pensyarah universiti, bank pusat, wakil pertubuhan pelajar dan juga dari parti politik Demokrat. Terdapat juga dua orang pegawai tentera dari Jordan dan Algeria yang sedang mengikuti kursus di Lemhanas RI. Marshal Muda Udara RI Mochammad Barkah selaku Ketua Delegasi menyampaikan ucapan terima kasih kepada IDFR kerana sambutan dan layanan yang diberikan kepada delegasi ini walaupun IDFR agak lewat dimaklumkan mengenai pertukaran tarikh lawatan ini.
Delegasi ini telah disambut oleh TYT Ambassador Aminahtun Hj A Karim, Timbalan Ketua Pengarah IDFR dan juga beberapa orang pegawai kanan yang lain. Seterusnya delegasi ini telah dibawa ke Bilik Triti untuk mendengar taklimat mengenai Dasar Luar Negara dan juga mengenai IDFR yang masing-masing telah disampaikan oleh Encik Mohammad Razdan Jamil dan Encik Mohd Farid Mohd Ariff. Delegasi ini telah mengambil maklum mengenai wawasan dan hala tuju Dasar Luar Negara dan juga mengenai latihan-latihan yang dilaksanakan di IDFR.
Selesai taklimat, delegasi ini telah dibawa menikmati jamuan minum petang yang telah disediakan dan mengambil kesempatan ini untuk bertukar-tukar pendapat dan buah fikiran mengenai beberapa perkara yang menjadi minat di antara kedua-dua negara berjiran ini. Delegasi Lemhanas RI kemudiannya meninggalkan IDFR setelah berada selama dua jam sambil membawa balik maklumat dan pengetahuan mengenai Dasar Luar Negara dan juga IDFR.
Dilaporkan oleh : Mejar Mohd Ridzuan Mohd Shariff
Bahagian Pengajian Serantau dan Keselamatan