logo ms

Rabu, 30 November 2022

faq  |  contact us  |  feedback  |  Peta laman

Diplomatic Training Course (DTC) for International Participants

dtc1301

Diplomatic Training Course (DTC) for International Participants Siri 1/2013 telah dianjurkan dengan jayanya bermula dari 11 hingga 29 Mac 2013.Seramai 16 orang diplomat muda dari Azerbaijan, Kemboja, Republik Kyrgyz, Oman, Filipina, Sudan, Tajikistan, Tanzania, Timor Leste, Turkey dan Uzbekistan telah berjaya menamatkan kursus DTC Siri 1/2013 tersebut.

Kursus yang dianjurkan di bawah tajaan Program Kerjasama Teknikal Malaysia (PKTM) selama tiga minggu ini telah berjaya meningkatkan ilmu pengetahuan peserta dalam pelbagai bidang seperti diplomasi, pemikiran strategik, perundingan, pengucapan umum, dasar luar negeri Malaysia dan pengalaman dalam ASEAN, pembangunan ekonomi dan industri Malaysia serta kemahiran media bagi membentuk seorang diplomat yang berkaliber.

Kursus ini juga telah menjadi satu platform bagi peserta untuk bertukar-tukar idea baru di antara satu sama lain serta mempelajari pelbagai prospek mengenai tugas-tugas seorang diplomat melalui kaedah pengajaran dan pembelajaran yang bersepadu seperti sesi taklimat, perbincangan, syarahan, dan latihan simulasi. Peserta juga turut menghadiri lawatan sambil belajar ke beberapa agensi dan kementerian kerajaan bertujuan untuk menimba ilmu tentang peranan dan fungsi agensi/kementerian tersebut. Lawatan sambil belajar juga telah dianjurkan ke Kuala Terengganu dan Pulau Redang, bersempena dengan “Tahun Melawat Terengganu 2013”.

Secara keseluruhannya, IDFR telah menerima maklum balas yang positif daripada peserta, di mana mereka memaklumkan bahawa “kami telah menimba ilmu pengetahuan yang berharga, mempelajari pelbagai kemahiran dan mendapat kenalan baru melalui kursus ini dan ianya akan menjadikan kami seorang diplomat terkemuka pada masa hadapan. Kami juga ingin kembali ke Malaysia untuk menghadiri kursus yang sama dengan kawan-kawan yang sama pada masa akan datang”. Para peserta juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada IDFR dan PKTM kerana berjaya menganjurkan kursus yang membina ini. Selain itu, peserta berasa gembira kerana diberi peluang eksklusif untuk mengenali Malaysia dengan lebih dekat melalui makanan, budaya, tradisi, agama dan perpaduan kaum yang hidup harmoni.

Majlis Penyampaian Sijil bagi kursus Diplomatic Training Course (DTC) for International Participants telah diadakan di Hotel Swiss Garden and Residences, Kuala Lumpur pada hari terakhir kursus. Turut hadir adalah Ketua Pengarah  IDFR, YBhg. Dato’ Ku Jaafar Ku Shaari, pegawai-pegawai IDFR dan wakil dari Program Kerjasama Teknikal Malaysia (PKTM).

Dilaporkan oleh : Jarin Sijaya Abdul Hathi
Bahagian Latihan