logo ms

Rabu, 30 November 2022

faq  |  contact us  |  feedback  |  Peta laman

Berita Terkini

Majlis Perasmian Mahathir Global Peace School

globalpeace1401 br


Pada 17 Februari 2014, Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri(IDFR) menjadi tuan rumah kepada Majlis Perasmian Mahathir Global Peace School (MGPS) bertemakan “Keamanan Global dan Penyelesaian Konflik”. Program tersebut dianjurkan oleh Universitas Muhammadiyah Yogyakarta dan Yayasan Perdana Keamanan Global (PGPF).

Objektif MGPS adalah untuk meneroka strategi ke arah dunia yang adil dan aman serta bertujuan untuk menyelidik implikasi politik, etika, undang-undang dan ekonomi ke atas keamanan global dan hubungkaitnya dengan kosmopolitanisme sebagai alternatif kepada fahaman nasionalisme yang lebih tradisional.

Program tersebut dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Dato’ Hussin Nayan, Ketua Pengarah IDFR dan ucapan oleh Prof. Dr. Bambang Cipto, Rektor Universitas Muhammadiyah Yogyakarta, Indonesia.
    
Perdana Menteri Malaysia keempat dan Presiden PGPF iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad kemudian menyampaikan ucaptamanya dan merasmikan majlis. Beliau menyentuh tentang prinsip demokrasi yang memberi penekanan ke atas hak asasi manusia tetapi apabila orang awam menghadapi pencerobohan di tanah air mereka, hak tersebut ditarik balik. Beliau juga berpendapat mengarahkan orang lain untuk membunuh adalah jenayah yang paling dahsyat. Tun Dr. Mahathir menyatakan bahawa diplomasi adalah kaedah terbaik untuk menyelesaikan konflik demi menuju ke arah dunia yang adil dan aman. Beliau memberi beberapa contoh konflik serantau yang berlaku sewaktu beliau menjadi Perdana Menteri dan mengatakan bahawa Malaysia dan negara jirannya mencari penyelesaian dengan membawa permasalahan tersebut ke Mahkamah Antarabangsa daripada menggunakan kekerasan.

Program tersebut diakhiri dengan ceramah umum dari bekas Naib Presiden Republik Indonesia, Dr. M Jusuf Kalla dan Pengerusi Lembaga Pusat Muhammadiyah, Prof. Dr. M Din Syamsudin.

globalpeace1402 globalpeace1403

Dilaporkan oleh: Syahrul Nizzam Nordin
Bahagian Pengajian Akademik, Penyelidikan dan Penerbitan

Cetak Emel