Kolokium Kebangsaan Mengenai Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia 2015
Dari 8 hingga 10 April 2014, Kementerian Luar Negeri dengan kerjasama Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Institut Pengajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia telah menganjurkan Kolokium Kebangsaan Mengenai Kepengerusian ASEAN. Peserta Kolokium terdiri dari wakil-wakil sektor awam, para pengamal, ahli akademik, badan pemikir, pertubuhan masyarakat sivil, kumpulan belia, pihak media dan pakar hal-ehwal ASEAN.
Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak merasmikan kolokium dan menyampaikan ucaptama. Dalam ucaptamanya, Perdana Menteri telah berkongsi dengan para hadiran tentang penilaian, pandangan dan visinya mengenai Kepengerusian ASEAN pada tahun 2015. Malaysia telah mengenalpasti pengwujudan ‘People-Centred ASEAN’ sebagai elemen utama Kepengerusian ASEAN 2015. Penubuhan Komuniti ASEAN 2015 akan mengukuhkan integrasi dan kerjasama serantau yang mencerminkan kesediaanASEAN untuk menyumbang secara positif kepada hal-ehwal global.
Sepanjang tiga hari kolokium tersebut berlangsung, para peserta dilibatkan dalam pelbagai sesi yang disampaikan oleh tokoh-tokoh terkenal. Dato’ Hussin Nayan, Ketua Pengarah IDFR telah mempengerusikan sesi bertajuk “ASEAN Outlook: Re-assessing the Pillars Approach and How Malaysia Can Take A Proactive and Constructive Leading Role as Chair of ASEAN in 2015”. Penceramah-penceramah pada sesi tersebut adalah YB Dato’ Sri Mustapa Mohamad, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato’ Muhamad Shahrul Ikram Yaakob dari Sekretariat Kebangsaan ASEAN-Malaysia dan Datuk Hj. Ab. Ghaffar A. Thambi dari Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan. Sesi-sesi lain termasuk yang bertemakan pembangunan komuniti, belia, keselamatan dan hal-ehwal ekonomi.
Kolokium tersebut terbukti sebagai sebuah acara yang menyeluruh di mana pelbagai cadangan, pandangan dan pemerhatian telah diambilkira berdasarkan maklumbalas dari para peserta. Dalam ucapan penutupnya, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Datuk Othman Hashim telah memberi jaminan bahawa Kementerian akan terus melibatkan pihak-pihak yang berkaitan dan menyatakan bahawa pertemuan adalah satu titik permulaan, berganding bahu tanda kemajuan dan bekerjasama pasti menuju kejayaan.
Dilaporkan oleh: Zanariah Abdul Malek
Bahagian Pengajian Akademik, Penyelidikan dan Penerbitan