SPKM: Pre-Posting Orientation Course for Home-Based Staff and Spouses 1/2018
Penjawat awam yang profesional dan cekap amat penting bagi memastikan keberkesanan perkhidmatan awam di Perwakilan Malaysia di luar negara. Atas sebab ini, Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR) telah menganjurkan siri pertama SPKM: Pre-Posting Orientation Course for Home-Based Staff and Spouses dari 5 hingga 14 Februari 2018. Kursus ini dikhaskan untuk pegawai gred 41 dan ke atas bagi meningkatkan dan mengembangkan kemahiran dan pengetahuan mereka dalam bidang diplomasi dan hubungan antarabangsa.
Kursus ini telah dihadiri oleh 51 orang peserta yang terdiri daripada pegawai-pegawai kerajaan dan pasangan mereka. Para pegawai dari sepuluh kementerian dan agensi kerajaan/jabatan antaranya Angkatan Tentera Malaysia, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Jabatan Imigresen Malaysia, Agensi Nuklear Malaysia, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Tourism Malaysia, Majlis Amanah Rakyat (MARA), Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Jabatan Perdana Menteri dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) telah menghadiri kursus ini.
Kursus ini bertujuan untuk mendedahkan para peserta dengan perkara-perkara yang berkaitan dengan tugasan penjawat awam di Perwakilan Malaysia di luar negara. Antara modul yang diperkenalkan adalah Dasar Luar Malaysia; Cross-Cultural Awareness; Etiket Sosial; Pentadbiran, Keselamatan dan Hal-hal Konsular di Perwakilan Malaysia. Selain itu, peserta juga didedahkan dengan Isu Keselamatan Negara serta Kepentingan Etika dan Integriti dalam mengukuhkan akauntabiliti penjawat awam di Perwakilan Malaysia di luar negara.
Sepanjang lapan hari berkursus, IDFR percaya para peserta bersedia untuk menjalankan tanggungjawab mereka dengan cekap di Perwakilan Malaysia kelak. Encik Aiyub Omar, Pengarah Pusat Kepimpinan, Perundingan dan Diplomasi Awam telah menyampaikan ucapan penutup dan sijil penyertaan kepada para peserta pada hari terakhir kursus.
Disediakan oleh:
Siti Farsha Murni Izami
Pusat Kepimpinan, Perundingan dan Diplomasi Awam (LNPD)