logo ms

Rabu, 28 September 2022

faq  |  contact us  |  feedback  |  Peta laman

Berita Terkini

Majlis Penganugerahan Diploma Diplomasi (DiD) 2018

DID20181

Enam belas orang pegawai muda dari Kementerian Luar Negeri (KLN), Malaysia yang segak berpakaian dalam sut No. 1 mereka telah dianugerahkan dengan Diploma in Diplomacy (DiD) oleh Yang Berhormat Dato’ Marzuki Hj. Yahya, Timbalan Menteri Luar Negeri di Dewan Serbaguna, IDFR.

Majlis penganugerahan ini yang telah diadakan pada 22 November 2018 turut dihadiri oleh Ketua Setiausaha KLN, Dato’ Seri Ramlan Ibrahim, bekas Duta Besar-Duta Besar dan Pesuruhjaya Tinggi-Pesuruhjaya Tinggi Malaysia, pegawai-pegawai kanan Kementerian, wakil-wakil dari Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), para pensyarah, Felo-felo Kehormat dan kakitangan IDFR serta ahli keluarga para graduan. 

Majlis ini merupakan acara kemuncak program DiD Sesi 2018 yang telah berlangsung selama enam bulan sejak 2 April 2018. Selain penganugerahan diploma, tiga orang graduan DiD telah menerima anugerah khas, iaitu Cik Sarah Zahirah Ruhama (Anugerah Menteri Luar Negeri untuk Pelajar Terbaik Keseluruhan), Encik Muhammad Muhaimin Rasidi (Anugerah Ketua Setiausaha Luar Negeri untuk Kepimpinan Terbaik) dan Puan Farah Syafina Bahari (Anugerah Ketua Pengarah IDFR untuk Pencapaian Akademik Terbaik).

DiD merupakan satu program utama yang dianjurkan oleh IDFR dan wajib dihadiri oleh semua Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) KLN sebagai sebahagian daripada persediaan untuk penempatan pertama mereka di Perwakilan Diplomatik Malaysia di luar negara. Program ini dijalankan secara sepenuh masa setiap tahun di IDFR dengan usaha untuk membentuk dan melengkapkan pegawai-pegawai muda KLN dengan kemahiran dan ilmu pengetahuan sebagai seorang diplomat yang berkesan. 

Semasa majlis graduasi tersebut, para graduan 2018 mengambil peluang untuk mengabadikan kenangan mereka sepanjang program DiD dengan montaj video dan persembahan glowing hands yang unik. Kejayaan mereka juga turut diraikan oleh ahli-ahli keluarga mereka yang telah memberikan sokongan penuh sepanjang program tersebut berlangsung. 

IDFR sekali lagi mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua graduan DiD tahun 2018!

DID20182 DID20183

Disediakan oleh:
Pusat Pemerkasaan Kompetensi (CEC)

Cetak Emel