Bengkel Diplomasi Awam dan Kemahiran Media 2019
Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR) melalui Pusat Kepimpinan, Perundingan dan Diplomasi Awam (LNPD) telah berjaya menganjurkan Bengkel Diplomasi Awam dan Kemahiran Media 2019. Bengkel ini telah diadakan di Hotel Vistana, Kuala Lumpur dari 27 hingga 29 Ogos 2019. Bengkel ini dihadiri oleh 25 orang peserta dari Kementerian Luar Negeri (KLN), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Promosi Eksport Getah Malaysia (MREPC), Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS), Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR).
Matlamat penganjuran bengkel ini adalah untuk meningkatkan kesedaran para pegawai kerajaan terhadap peranan diplomasi awam di dalam mempromosikan dan mempertahankan kepentingan negara. Di samping itu, penganjuran bengkel ini juga dapat memberi pendedahan, persediaan dan perkongsian maklumat kepada pegawai-pegawai peringkat pertengahan (Gred 44-52) dalam menangani sesi soal jawab sidang media dan sesi temuramah/temuduga melalui simulasi sidang media. Simulasi sidang media ini telah dikelolakan oleh YBhg. Datin Yusanani Yushak, seorang perunding media profesional terkenal di Malaysia. Bengkel ini penting untuk para pegawai peringkat pertengahan dan pegawai kanan kementerian dan agensi kerajaan yang terlibat secara langsung di dalam pengendalian sidang media dan diplomasi awam.
Sepanjang tiga (3) hari bengkel ini dijalankan, IDFR percaya para peserta telah mendapat pengetahuan secukupnya di samping meningkatkan kesedaran mereka mengenai diplomasi awam dan kepentingan diplomasi awam dalam mempromosikan kepentingan Malaysia. IDFR juga percaya para peserta juga telah memperoleh kemahiran yang diperlukan untuk berkomunikasi dan mengendalikan media secara lebih berkesan dalam konteks diplomasi awam dan advokasi. Sesi penutup bengkel ini telah disempurnakan oleh Encik Aiyub Omar, Pengarah Pusat LNPD yang telah menyampaikan ucapan dan sijil kepada para peserta pada hari terakhir bengkel ini dijalankan.
Disediakan oleh:
Pusat Kepimpinan, Perundingan dan Diplomasi Awam (LNPD)