Selasa, 10 Disember 2024

faq  contact us  feedback  Peta laman

SPKM: Kursus Pra-Penempatan untuk Pegawai dan Pasangan 1/2021

SPKM12021B

Pusat Kepimpinan, Perundingan dan Diplomasi Awam (LNPD), IDFR telah menganjurkan kursus SPKM siri pertama bagi tahun 2021. Kursus Pra-Penempatan untuk Pegawai dan Pasangan 1/2021 ini telah diadakan pada 11-12 Januari 2021 secara bersemuka di IDFR dan pada 19-27 Januari 2021 secara atas talian melalui aplikasi Skype. Kursus ini dianjurkan untuk pegawai-pegawai Gred 41 dan ke atas bersama pasangan dengan menitikberatkan peranan mereka dalam hal ehwal diplomatik, pentadbiran dan etika sosial serta meningkatkan kemahiran dan pemahaman mereka tentang amalan diplomasi antarabangsa, untuk memudahkan urusan penempatan mereka kelak.

Seramai 51 peserta telah menghadiri kursus ini yang terdiri daripada 27 pegawai bersama 24 pasangan. Para peserta dari pelbagai kementerian dan agensi kerajaan seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM); Polis Diraja Malaysia (PDRM); Jabatan Perdana Menteri (JPM); Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI); Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE); Tourism Malaysia; Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA); Jabatan Imigresen Malaysia (JIM); Majlis Amanah Rakyat (MARA); Setiausaha Kerajaan Terengganu; Majlis Agama Islam Johor (MAIJ); dan Lembaga Tabung Haji telah turut serta pada kursus kali ini.

Kursus ini dilaksanakan khas bagi membimbing para peserta dalam urusan pentadbiran dan pengurusan berhubung dengan penjawatan dan fungsi mereka sepanjang bertugas di Perwakilan Malaysia di luar negara. Para peserta didedahkan dengan modul seperti Dasar Luar Negeri Malaysia; Peranan Pasangan di Perwakilan Luar Negeri; Kemahiran Media; Hal Ehwal Protokol dan Konsular di Perwakilan; Urusan Pentadbiran dan Pengurusan Aset di Perwakilan Malaysia; Etika Sosial dan Makan Beradab; Urusan Kewangan dan Audit; serta Etika dan Integriti. Presiden Persatuan Wanita Kementerian Luar Negeri (PERWAKILAN), YBhg. Datin Sri Izdina Izaidin yang juga isteri kepada Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, turut hadir membantu dan berkongsi pengalaman beliau sebagai isteri diplomat ketika sesi ceramah bertajuk Roles of Spouses at Missions Abroad yang dikendalikan oleh Puan Suriyah Abdullah. 

Kursus pada hari pertama dan kedua telah dijalankan secara bersemuka di IDFR. Walau bagaimanapun, kursus ini telah diteruskan secara atas talian dari 19 hingga 27 Januari 2021 selepas pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dibuat oleh Perdana Menteri pada 11 Januari 2021. Pihak Sekretariat mengambil masa selama seminggu untuk penjadualan semula semua sesi untuk dikendalikan secara atas talian menggunakan aplikasi Skype sebagai mematuhi SOP yang telah ditetapkan. Terdapat beberapa kekurangan dan cabaran yang dihadapi sepanjang mengendalikan kursus ini buat kali pertama secara atas talian, namun ianya dapat ditangani secara berkesan oleh LNPD. Para penceramah telah memberikan kerjasama yang baik dan bersedia memberikan ceramah secara atas talian di tempat masing-masing. Terdapat juga segelintir daripada penceramah yang telah hadir ke IDFR bagi menggunakan kemudahan persidangan video yang disediakan di institut ini.

Sepanjang kursus ini diadakan, IDFR telah membantu para pegawai secara amnya dalam melatih serta membimbing mereka untuk mengharungi segala aspek ketika bertugas di Perwakilan Malaysia di luar negara. Majlis penutup telah diadakan secara atas talian pada hari terakhir kursus di mana YBhg. Dato’ Mohd Zamruni Khalid, Ketua Pengarah IDFR menyampaikan ucapan beliau kepada para peserta.

SPKM12021A SPKM12021C SPKM 12021

Disediakan oleh:
Pusat Kepimpinan, Perundingan dan Diplomasi Awam (LNPD)

fbk

twt

int

tk

yt