logo ms

Rabu, 28 September 2022

faq  |  contact us  |  feedback  |  Peta laman

Berita Terkini

Bengkel Persediaan dan Pengurusan Krisis

crisis1

Pusat Kajian Politik dan Diplomasi Ekonomi (PSED), Institut Diplomasi dan Hubungan Luar (IDFR) telah menganjurkan sebuah program bertajuk Bengkel Persediaan dan Pengurusan Krisis pada 18 Mei 2022 di IDFR.

Matlamat utama bengkel ini adalah untuk mendedahkan para peserta kepada konsep krisis dan kaedah pengurusan krisis dalam konteks hubungan antarabangsa. Bengkel ini juga akan dijadikan panduan oleh Pusat ini dalam penyediaan kursus baharu berkaitan pengurusan krisis yang akan ditawarkan kepada pegawai dan kakitangan Kementerian Luar Negeri, Malaysia serta agensi kerajaan lain yang akan berkhidmat di Perwakilan Malaysia di luar negara.

Bengkel Persediaan dan Pengurusan Krisis ini telah dimulakan dengan sesi bersama Profesor Dr Kamarulzaman Askandar, Universiti Sains Malaysia (USM). Dalam sesi ini, Profesor Kamarulzaman telah menyampaikan ceramahnya yang bertajuk Pengenalan kepada Krisis dan Konflik dalam Hubungan Antarabangsa secara dalam talian melalui aplikasi Zoom. Beliau telah menerangkan definisi dan teori penting dalam hubungan antarabangsa seperti teori keamanan dan teori konflik yang amat relevan dalam topik pengurusan krisis. Dalam pada itu, Profesor Kamarulzaman turut berkongsi tentang pengalaman beliau dalam beberapa misi perundingan dan penyelesaian konflik sewaktu berkhidmat sebagai Wakil Malaysia ke Institut Keamanan dan Rekonsiliasi ASEAN (ASEAN-IPR).

Dalam sesi kedua pula, para peserta telah didedahkan kepada fungsi dan kapasiti Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam pengurusan krisis melalui ceramah yang bertajuk Peranan Majlis Keselamatan Negara dalam Menguruskan Krisis di Luar Negara. Ceramah tersebut telah disampaikan oleh Puan Zetty Noor Akmar Abd Majid, Ketua Penolong Pengarah di MKN. Sepanjang sesi tersebut, para peserta telah terlibat secara aktif melalui sesi soal jawab bersama Puan Zetty terutama sekali berkenaan kerjasama antara MKN dan Kementerian Luar Negeri, Malaysia dalam pengurusan krisis yang melibatkan kepentingan Perwakilan dan keselamatan rakyat Malaysia di luar negara.

Pada sesi yang terakhir, Encik Martin de Boer, Timbalan Ketua Delegasi, Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) telah menyampaikan ceramah bertajuk Peranan Pertubuhan Antarabangsa dalam Persediaan dan Pengurusan Krisis. Beliau telah memperkenalkan fungsi dan peranan ICRC dalam menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada mangsa-mangsa yang terkesan daripada pelbagai jenis krisis dan konflik antarabangsa termasuk peperangan, bencana alam, krisis makanan, dan sebagainya.

Bengkel ini telah disertai oleh 19 orang pegawai Gred 41 dan ke atas dari IDFR dan Kementerian Luar Negeri, Malaysia. Ia turut dihadiri oleh Ketua Pengarah IDFR, Dato’ Dr Shazelina Zainul Abidin dan Ketua-ketua Pusat IDFR.

crisis2 crisis3 crisis4

Disediakan oleh:
Pusat Kajian Politik dan Diplomasi Ekonomi (PSED)

Cetak Emel