Pusat Kepimpinan, Perundingan dan Diplomasi Awam (LNPD) telah menganjurkan program MTCP: Media and Public Diplomacy Course for International Participants 2022 dari 15 hingga 19 Ogos 2022. Seramai 27 orang diplomat daripada Laos, Tajikistan, Guyana, Panama, Mesir, Bhutan, Kenya, Samoa, Malawi, Mauritius, dan Filipina menghadiri kursus ini.
Kursus selama lima hari tersebut diadakan secara maya itu menghimpunkan para pegawai diplomat muda dari pelbagai negara. Kursus tersebut diadakan untuk melengkapkan diri mereka dengan pemahaman yang lebih baik tentang kepentingan diplomasi awam dan media serta cara-cara memanfaatkan kemahiran ini dengan sebaiknya dalam menyampaikan dasar-dasar dan maklumat kerajaan. Para peserta dilatih dengan kemahiran komunikasi, menggunakan alat dan teknik dalam pengurusan awam melalui media tradisional dan alternatif (seperti Facebook dan Twitter) serta menyediakan siaran akhbar.
Kursus tersebut telah dijalankan dengan menggunakan format pengajaran dan pembelajaran yang bersepadu, iaitu melalui syarahan, perbincangan dan kajian kes. Antara modul-modul yang dibincangkan semasa kursus ialah Dasar Luar Malaysia (Malaysia’s Foreign Policy); Diplomasi Awam & Dasar Luar (Public Diplomacy & Foreign Relations); Siaran Akhbar Diplomatik (Diplomatic Press Release); Hubungan dan Liputan Media Antarabangsa bagi Diplomasi Awam (International Media Relations and Coverage for Public Diplomacy); Penjenamaan Nasional (National Branding); Menguasai Media Baharu (Mastering New Media); Pengurusan Awam di Platform Media Sosial (Managing the Public on Social Media Platforms); dan Pengendalian Media untuk Diplomat (Teori & Praktikal) (Handling Media for Diplomats [Theory & Practical]). Modul-modul tersebut disampaikan oleh pakar-pakar yang terlibat dalam pengkhususan media dan diplomasi awam, iaitu Datuk Mokhtar Hussain, Dato' Zainul Ariffin Mohammed Isa, dan Mr Govind Nair dari Malaysia Press Institute.
Semua peserta telah terlibat secara aktif walaupun kursus diadakan secara dalam talian. Berdasarkan maklum balas para peserta, mereka mendapat manfaat yang besar daripada kursus ini dan berharap dapat menggunakan kemahiran dan pengetahuan baharu yang mereka perolehi tersebut di tempat kerja masing-masing.
Disediakan oleh:
Pusat Kepimpinan, Perundingan dan Diplomasi Awam (LNPD)