Khamis, 23 Januari 2025

faq  contact us  feedback  Peta laman

IDFR Distinguished Lecture Series 2023: Professor Kishore Mahbubani

DLS 2023 main

Tahun ini, IDFR telah mengadakan Distinguished Lecture Series yang menampilkan penceramah terkemuka, Profesor Kishore Mahbubani pada 6 Julai 2023. Syarahan bertajuk "When Elephants Fight, Will ASEAN Get Trampled?" telah diadakan di Auditorium IDFR dengan kehadiran 188 peserta dari pelbagai organisasi, termasuk kor diplomatik, pegawai kerajaan, pemimpin korporat, dan ahli akademik dari badan pemikir dan universiti. Seramai 20 pegawai dari Perwakilan Malaysia di luar negara juga telah menyertai ceramah tersebut secara dalam talian.

Profesor Mahbubani merupakan Fellow Kehormat di Asia Research Institute, National University of Singapore, dan mempunyai pengalaman selama 33 tahun dalam bidang diplomasi dengan Kementerian Luar Singapura. Antara kemuncak kerjaya diplomatiknya ialah berkhidmat sebagai Setiausaha Tetap Kementerian Luar Negeri, dua kali berkhidmat sebagai Wakil Tetap Singapura ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dan juga berkhidmat sebagai Presiden Majlis Keselamatan PBB.

Profesor Mahbubani juga telah mengarang sembilan buku termasuk buku terlaris seperti “Can Asians Think?”, “The Great Convergence,” “The ASEAN Miracle” dan “Has the West Lost It?”. Buku terbarunya bertajuk “Has China Won?”, dan “The Asian 21st Century” telah diterbitkan pada Januari 2022.

Acara dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Dato’ Dr Shazelina Zainul Abidin, Ketua Pengarah IDFR, dan kemudian dikendalikan oleh Dato Dr Ilango Karuppannan, Profesor Adjung di Universiti Malaya dan juga mantan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura sebagai moderator.

Semasa ceramah selama sejam itu, Profesor Mahbubani telah berkongsi salah satu topik utama hari ini kepada para hadirin iaitu ketegangan geopolitik antara Amerika Syarikat (A.S.) dan China serta peranan ASEAN di antara persaingan kuasa besar. Topik itu dipilih memandangkan ASEAN sedang menghadapi ancaman besar daripada persaingan geopolitik yang akan terus meningkat untuk tahun-tahun akan datang.

Menggunakan analogi ASEAN sebagai pasu Ming, beliau menekankan bahawa organisasi serantau itu bernilai dan mencapai kejayaan luar biasa, seperti yang dapat dilihat melalui pertumbuhan ekonomi, FDI Global, dan hubungan perdagangan yang berkembang dengan AS dan China. Walaupun ramai yang membuat spekulasi mengenai jangka hayat ASEAN, Profesor Mahbubani menyatakan fakta bahawa ia telah bertahan sehingga kini walaupun berhadapan pelbagai kesusahan, berbanding dengan organisasi serantau lain yang telah membawa haluan masing-masing.

Dalam menggambarkan "gajah" sebagai saingan AS-China, Profesor Mahbubani menyatakan fakta menarik bahawa tidak ada titik persamaan dalam naratif persaingan geopolitik yang kian mempengaruhi setiap negara dengan cara yang berbeza. Beliau percaya bahawa persaingan itu terjadi berpunca daripada undang-undang besi geopolitik yang telah wujud selama 2000 tahun di mana tidak ada kuasa besar yang ingin akan melepaskan kedudukan nombor satunya.

Profesor Mahbubani juga menekankan bahawa ASEAN adalah organisasi yang tidak ternilai dan perlu dilindungi bagi mengelak daripada tersepit dalam persaingan geopolitik. Beliau mengakhiri ceramahnya dengan mengatakan bahawa "amat penting bagi kita untuk memahami betapa berharganya ASEAN, dan inilah sebabnya kita perlu memberi perhatian kepada kedua-dua ‘gajah’ ini kerana mereka akan memusnahkan sesuatu yang berharga kepada kita”.

Ceramah tersebut diakhiri dengan sesi soal jawab bersama penonton dan diikuti dengan sesi Private Networking Dinner di Hotel Pullman Kuala Lumpur.

DLS 2023 1 DLS 2023 2 DLS 2023 3

 

Disediakan oleh:
Cik Hanun Insyirah Ishak and Cik Aida Yasmin Azhar
Pusat Kajian Politik dan Diplomasi Ekonomi (PSED)

fbk

twt

int

tk

yt