Ucapan Tahun Baru – Ketua Pengarah IDFR
Berakhirnya Mid Career Course for Diplomats pada 17 Disember 2010 telah menandakan berakhirnya kalendar latihan IDFR untuk tahun 2010.
Sepanjang tahun 2010, IDFR telah menawarkan lebih 24 program untuk 1387 peserta daripada Kementerian Luar Negeri, agensi-agensi kerajaan yang lain serta bahagian perkhidmatan ketenteraan. Pelbagai program latihan yang ditawarkan dalam tempoh sehari sehinggalah 6 bulan direka untuk memenuhi keperluan pegawai-pegawai diplomat Malaysia dan peserta-peserta antarabangsa mengenai pelbagai topik yang merangkumi kepimpinan dan pengurusan serta keselamatan dan kebudayaan melalui komponen kajian teori, latihan praktikal dan penguasaan bahasa asing.
Sebagai institut latihan utama Kementerian Luar Negeri Malaysia, IDFR akan terus memainkan peranan penting dalam melengkapkan pegawai-pegawai diplomat negara dengan kemahiran-kemahiran penting yang diperlukan bagi mencapai tahap kecekapan dalam bidang diplomasi dan hubungan antarabangsa. Kepelbagaian peringkat-peringkat program latihan yang ditawarkan pada tahun 2011 akan disesuaikan dengan tahap pembangunan kerjaya peserta-peserta program. Pegawai-pegawai yang baru dilantik akan menjalani program Diploma in Diplomacy (DiD) selama 6 bulan dan program-program asas yang lain. Manakala, bagi pegawai-pegawai diplomat peringkat pertengahan dan atasan, program latihan dengan tahap-tahap berbeza akan disediakan untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran khusus bagi mencapai tahap diplomasi yang disasarkan.
Majlis Graduasi Program DiD 1/2010 yang diadakan pada 25 Jun 2010 telah menyaksikan 15 pegawai dari Wisma Putra, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) dan Kementerian Pelancongan Malaysia menerima Diploma dengan kepujian. Program DiD 2 yang sedang berlangsung hanya dijadualkan akan berakhir pada Mac 2011 tetapi peserta program telah menunjukkan potensi serta semangat yang tinggi dan pencapaian mereka dapat dilihat apabila berjaya menakluk puncak Gunung Kinabalu, gunung tertinggi di Asia Tenggara berketinggian 4095.2m bersama-sama dengan tiga pegawai dari IDFR pada pagi 14 Disember 2010.
Selain daripada perkara-perkara di atas, IDFR juga akan terus melaksanakan Program-Program Umum yang lain. Antaranya, Program Ijazah Sarjana hasil kolaborasi dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam Strategi dan Diplomasi akan dibuka untuk pendaftaran pada bulan Jun 2011 dan permohonan untuk latihan industri adalah dibuka sepanjang tahun. IDFR juga akan terus menganjurkan program yang melibatkan masyarakat melalui bengkel, seminar, perbincangan meja bulat dan kuliah umum. Salah satu program yang telah diadakan adalah Forum “ASEM 8 Dialogue: Ways Forward for Asia-Europe Cooperation” yang dilaksanakan dengan kerjasama Kedutaan Besar Belgium di Kuala Lumpur serta Delegasi Kesatuan Eropah ke Malaysia pada 29 September 2010 sejurus sebelum Sidang Kemuncak ASEM 8 berlangsung di Brussels, Belgium, pada Oktober 2010. Selain itu, IDFR akan terus menjalin kerjasama dengan agensi lain seperti Universiti Bern, Switzerland di mana IDFR telah bersama-sama menganjurkan bengkel “Achieving Nation’s Trade and Investment Objectives in the Trans Pacific Strategic Partnership Agreement and with European Union Trade Negotiations” pada 15 November 2010.
IDFR juga mengintegrasikan aspek sosial dan persekitaran melalui aktiviti-aktiviti di bawah program Corporate Social Responsibility (CSR). Beberapa acara telah dijalankan bagi memenuhi inisiatif CSR tahun 2010, antaranya ialah acara “The 1Malaysia Music Marathon”, kerjasama dengan Kumpulan Krista yang memaparkan bakat kanak-kanak istimewa dari 20 sekolah swasta dan kerajaan bermain alatan muzik selama 11 jam berturut-turut tanpa henti pada 13 November 2010. Acara tersebut telah tersenarai di dalam The Malaysia Book of Record. Antara acara lain yang diadakan sepanjang tahun 2010 termasuklah Rumah Terbuka Hari Raya IDFR bersama-sama 40 anak-anak dari Rumah Amal Limpahan Kasih (RALK), berusia antara 4 hingga 16 tahun pada 8 Oktober 2010 dan lawatan ke Pusat Penjagaan Kanak-kanak Cacat Taman Megah, Petaling Jaya pada 20 November 2010 sebagai sebahagian daripada aktiviti peserta DiD 2/2010.
IDFR akan terus berusaha untuk mencapai visi menjadi sebuah pusat latihan dan penyelidikan dalam diplomasi dan hubungan antarabangsa bertaraf antarabangsa. Hal ini akan dicapai melalui peningkatan kemampuan penyelidikan dan pelaksanaan langkah-langkah untuk merealisasikan status IDFR sebagai think tank terkemuka dalam bidang diplomasi dan hubungan antarabangsa serta melalui kerjasama dengan agensi kerajaan berkaitan, institusi penyelidikan dan universiti tempatan mahupun luar negeri.
Sehubungan ini, harapan saya adalah agar IDFR dapat mencapai matlamat dan objektif yang ditetapkan bagi tahun 2011 untuk merealisasikan visi IDFR dengan sokongan dan dedikasi warga-warga IDFR.
Other Latest Newsline
--------------------------------------------------------------------------------