YBhg. Dato' Ku Jaafar Ku Shaari, Ketua Pengarah Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR) telah diperkenan menghadap sembah oleh Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Dr. Nazrin Shah Ibni Sultan Azlan Muhibbuddin Shah, Raja Muda Perak pada 26 Januari 2012 di Istana Changkat, Kuala Lumpur.
YBhg. Dato' Ku Jaafar Ku Shaari telah mempersembahkan kepada Duli Yang Teramat Mulia Tuanku fail Penaung Diraja berserta edisi terkini IDFR Diplomatic Voice (Volume 3 2011) yang memuatkan pengumuman mengenai perkenan Duli Yang Teramat Mulia Tuanku bagi menjadi Penaung Diraja IDFR.
IDFR amat berbesar hati di atas perkenan Duli Yang Teramat Mulia Tuanku untuk menjadi Penaung Diraja IDFR. Perkenan Tuanku akan menjadi pemangkin dalam usaha IDFR menyediakan program latihan dan penyelidikan bertaraf dunia dalam bidang diplomasi dan hubungan luar.
Menjunjung Kasih Tuanku.