Workshop on Intercultural Communication and Diplomacy
IDFR mengalu-alukan kehadiran 26 orang peserta dari pelbagai kementerian dan agensi kerajaan, termasuk dua pegawai dari kedutaan besar ASEAN di Kuala Lumpur; Kemboja dan Indonesia, untuk Workshop on Intercultural Communication and Diplomacy yang telah diadakan dari 15 hingga 17 November 2016.
Bengkel tiga hari ini yang dikendalikan oleh Pusat Diplomasi Bahasa dan Budaya (CLCD), bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai aspek-aspek yang berkaitan dengan kepelbagaian budaya, meningkatkan kefahaman para peserta tentang hubungan antara budaya dan diplomasi, dan mendedahkan mereka kepada pengurusan komunikasi silang budaya. Fokus utama bengkel tahun ini adalah mengenai aspek-aspek dan ciri-ciri dalam konteks ASEAN.
Sepanjang bengkel ini, para peserta telah didedahkan kepada pelbagai aspek yang berkaitan dengan komunikasi antara budaya dan diplomasi, termasuk impak dan skop budaya dalam diplomasi, komunikasi silang budaya, kecerdasan budaya, perundingan merentasi budaya, modul berkenaan ASEAN dan kesedaran antara budaya di rantau ASEAN.
Para peserta juga telah berpeluang untuk mengikuti sesi bersama Encik Freddy Martin Panggabean, Menteri Penasihat dari Kedutaan Besar Republik Indonesia, yang berkongsi pandangan beliau tentang "Indonesian Cultural Diplomacy" dan bagaimana ia menjadi medium kuasa lembut (soft power) bagi Indonesia. Beliau juga turut menekankan usaha-usaha diplomasi budaya yang dilakukan oleh Indonesia, serta cabaran dalam diplomasi budaya yang berkesan.
Sijil penyertaan telah disampaikan oleh Pengarah CLCD, Puan Romaiza Ab Rahman pada hari terakhir bengkel.
Dilaporkan oleh:
Dzuita Mohamed
Pusat Diplomasi Bahasa dan Budaya (CLCD)