logo ms

Rabu, 28 September 2022

faq  |  contact us  |  feedback  |  Peta laman

Berita Terkini

Program Diplomat Muda Majlis Pemimpin Pelajar Johor 2017

JSLC2017 main

IDFR telah bekerjasama sekali lagi dengan Jabatan Pendidikan Johor dan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) untuk menganjurkan "Program Diplomat Muda" bagi Majlis Pemimpin Pelajar Johor (JSLC).

Dianjurkan dari 13 hingga 17 Mac 2017, program tersebut bertujuan menyediakan para pemimpin pelajar yang dipilih daripada beberapa sekolah menengah di negeri Johor dengan pendedahan dan pengetahuan yang mendalam mengenai tema asas diplomasi dan amalan diplomatik. Sepanjang tempoh lima hari, mereka diperkenalkan dengan Peranan dan Fungsi Wisma Putera; Peranan dan Fungsi Perwakilan Malaysia di Luar Negara; Kerja Konsular di Misi, Kepentingan Diplomasi Awam dan Hubungan Media; Hubungan ASEAN; Dasar Luar Malaysia; Rundingan Antarangsa dan Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu. Mereka turut diberi latihan praktikal dalam kemahiran penyampaian dan etiket sosial.

Acara kemuncak program tersebut ialah lawatan ke Kementerian Luar Negeri atau lebih dikenali sebagai Wisma Putra; lawatan sambil belajar ke Suruhanjaya Tinggi Australia di Kuala Lumpur dan sesi dialog bersama Datuk Mohamad Sadik Kethergany, Ketua Pengarah IDFR. Lawatan ke Wisma Putra dilihat sebagai peluang keemasan bagi para pelajar tersebut untuk bertemu dan berbincang dengan para diplomat Malaysia mengenai dasar luar Malaysia, terutama berkenaan diplomasi dua hala dan pelbagai hala. Di Suruhanjaya Tinggi Australia, mereka diberi taklimat dan berpeluang berbincang mengenai peranan dan fungsi Suruhanjaya Tinggi tersebut. Dengan melawat Wisma Putra dan Suruhanjaya Tinggi Australia, mereka dapat mengaitkan kepentingan diplomasi dan dasar luar Malaysia dalam mengekalkan hubungan baik dengan negara-negara lain.

Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil telah dijalankan pada 17 Mac 2017. Majlis dimulakan dengan persembahan tarian Zapin oleh para pelajar tersebut. Ambasador Norman Muhamad, Pengarah, Pusat Kajian Politik dan Diplomasi Ekonomi telah menyampaikan ucapan penutup dan menyerahkan sijil penyertaan kepada para pelajar. Ucapan balas terima kasih daripada JSLC telah disampaikan oleh JSL Anis Nazira Razali, wakil yang dilantik.

Secara keseluruhannya, program tersebut mendapat maklumbalas yang memberangsangkan daripada para pelajar dan penceramah. Pusat Kepimpinan, Rundingan dan Diplomasi Awam amat berbesar hati kerana berpeluang untuk memupuk pengalaman pembelajaran diplomatik dalam kalangan pemimpin muda kita dan berharap untuk dapat terus bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Johor dan IRDA pada masa hadapan.


Disediakan oleh:
Pusat Kepimpinan, Rundingan dan Diplomasi Awam

Cetak Emel