Majlis Perasmian Diploma Diplomasi (DiD) 2018
Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR), Kementerian Luar Negeri, Malaysia telah memulakan sesi terkini Diploma Diplomasi (DiD) pada 2 April 2018. DiD merupakan kursus latihan profesional selama enam bulan yang wajib dihadiri oleh semua pegawai muda Kementerian Luar Negeri, Malaysia sebelum penempatan pertama mereka di luar negara. Kursus ini bertujuan untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan peserta sebagai persediaan bagi pelbagai fungsi, peranan dan tanggungjawab mereka di Kementerian, serta di Perwakilan Diplomatik Malaysia. Para peserta akan dianugerahkan Diploma Diplomasi setelah menamatkan kursus ini dalam bulan Oktober 2018. Kemasukan terbaru ini terdiri daripada 16 orang peserta yang penuh bersemangat dari pelbagai bahagian dan jabatan di Kementerian.
DiD 2018 telah dirasmikan oleh Datuk Mohamad Sadik Kethergany, Ketua Pengarah IDFR dan turut dihadiri oleh Ketua-ketua Pusat IDFR, bersama wakil mereka. Majlis Perasmian ini telah dimulakan dengan sesi bergambar antara para peserta dengan Pihak Pengurusan IDFR. Datuk Mohamad Sadik kemudiannya menyampaikan ucapan alu-aluan beliau. Dalam ucapannya, Datuk Mohamad Sadik menerangkan bahawa kurikulum DiD telah direka dengan teliti agar ia dapat memberikan pendedahan kepada para peserta dalam bidang yang berkaitan dengan diplomasi dan hubungan antarabangsa, di samping meningkatkan kemahiran diplomasi mereka. Sehubungan itu, beliau berharap agar kursus ini mampu membimbing dan menyediakan para peserta untuk mencapai peringkat yang terbaik, seterusnya menjadikan mereka sebagai diplomat yang mempunyai kematangan dan kepakaran ketika bertugas di luar negara. Beliau turut berharap agar para peserta dapat menjadikan DiD sebagai platform terbaik untuk memperkayakan pengetahuan mereka dalam bidang hal ehwal antarabangsa dan politik dengan menggunakan seluruh kemudahan dan kepakaran yang disediakan oleh IDFR.
Semua peserta DiD juga dijemput untuk memperkenalkan diri mereka sebelum majlis tersebut tamat.
Disediakan oleh:
Ahmad Radzi Mohd Zim
Peserta DiD 2018