Pusat Kepimpinan, Perundingan dan Diplomasi Awam (LNPD), IDFR telah menganjurkan Bengkel Perundingan Antarabangsa, pada 1 hingga 3 Julai 2019. Bengkel ini telah dirangka khusus untuk para pegawai diplomatik di peringkat pertengahan yang terdiri daripada pegawai gred 44 hingga 52 untuk meningkatkan kemahiran dalam urusan perundingan, keyakinan diri dan komunikasi berkesan. Kursus ini telah dihadiri oleh 28 orang peserta dari Kementerian Luar Negeri, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS), Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (MEA) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Puan Shanta Nagendam dari Skill Focus telah dijemput bagi menjayakan kursus tersebut.
Bengkel ini dianjurkan bertujuan untuk memberi pendedahan kepada para peserta berhubung kemahiran perundingan di peringkat antarabangsa, serta berkongsi pengalaman dan ilmu terkini dalam aspek berkenaan. Bengkel ini juga boleh dijadikan sebagai nilai tambah kepada kemahiran sedia ada oleh para peserta sebelum penglibatan mereka secara terus di dalam urusan perundingan serta mewakili organisasi masing-masing di persada antarabangsa. Encik Shaharuddin Onn, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Maritim, Kementerian Luar Negeri juga turut hadir serta menyampaikan ceramah bertajuk “Negotiations from a Practitioner’s Perspective”.
Sepanjang tempoh tiga hari berlangsung, IDFR percaya bahawa setiap pegawai telah dilengkapkan kemahiran asas yang penting sebagai persediaan untuk ditugaskan mewakili Malaysia dalam urusan dan hal ehwal perundingan antarabangsa di luar negeri. Encik Aiyub Omar, Pengarah LNPD telah menyampaikan ucapan penutup serta menyerahkan sijil penyertaan kepada para peserta semasa upacara penutup pada hari terakhir kursus.
Disediakan oleh:
Pusat Kepimpinan, Perundingan dan Diplomasi Awam (LNPD)