logo ms

Ahad, 02 Oktober 2022

faq  |  contact us  |  feedback  |  Peta laman

Berita Terkini

Duta Belia

YOUTH20203

Pusat Kepimpinan, Perundingan dan Diplomasi Awam (LNPD) telah menganjurkan program sulungnya untuk tahun ini iaitu Duta Belia, bersempena dengan penganjuran program Malaysia Future Leaders School (MFLS) 2020 dari 3 hingga 5 Februari. Modul selama tiga hari ini telah dibangunkan dengan kerjasama Institut Pembangunan dan Kecemerlangan Kepimpinan (iLEAD), Kementerian Belia dan Sukan. Seramai 240 peserta terdiri daripada para pelajar lepasan Siji Pelajaran Malaysia dari seluruh negara telah mengambil bahagian di dalam modul ini.

Para peserta telah didedahkan dengan Pengenalan kepada Kementerian Luar Negeri, Fungsi dan Peranan Perwakilan Malaysia di Luar Negeri dan Perkhidmatan Protokol dan Konsular pada hari pertama. Modul pada hari pertama telah dijalankan di Pusat Belia Antarabangsa (IYC), Cheras.

Pada hari kedua, para peserta telah melawat Kementerian Luar Negeri, Putrajaya dan diberi peluang untuk melawat Galeri Wisma Putra serta mengenali perkhidmatan yang disediakan untuk orang awam seperti Kaunter Konsular. Antara taklimat yang telah disampaikan ialah mengenai Pengenalan kepada Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR), Kesedaran Silang Budaya, Diplomasi Awam dan Hubungan Media, serta Pengenalan kepada ASEAN.

Para peserta telah melawat Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), untuk memahami akan pembuatan dan pemasaran produk-produk tempatan ke luar negara. Di MATRADE, mereka telah mengunjungi Pusat Pameran Eksport Malaysia (MEEC) dan Pusat Maklumat Perniagaan (BIC). Para peserta juga telah dibawa ke Dorsett Grand Hotel Subang untuk Sesi Makan Beradab dan Etiket, di mana mereka telah didedahkan dengan peraturan di meja makan serta pemakaian yang bersesuaian semasa menghadiri majlis-majlis rasmi.

Sepanjang tiga hari program berlangsung, IDFR percaya bahawa semua peserta telah dilengkapkan dengan segala aspek pengetahuan dan persediaan untuk mewakili Malaysia semasa lawatan akademik ke luar negara. Encik Hamizan Hashim, Pemangku Pengarah LNPD telah menyampaikan ucapan di Majlis Penutup yang diadakan di IYC, Cheras.

YOUTH20202 YOUTH20204 YOUTH20205

Disediakan oleh:
Pusat Kepimpinan, Perundingan dan Diplomasi Awam (LNPD)

Cetak Emel