Kursus Kepimpinan bagi Pegawai Peringkat Pertengahan: Membentuk Pemimpin Hari Ini untuk Hari Esok
Pusat Kepimpinan, Perundingan dan Diplomasi Awam (LNPD), IDFR telah menganjurkan Kursus Kepimpinan bagi Pegawai Peringkat Pertengahan: Membentuk Pemimpin Hari Ini untuk Hari Esok pada 7 hingga 9 April 2021 di IDFR. Kursus selama tiga hari ini telah direka khas bagi para Pegawai Gred 48-52 yang kini berada dalam Peringkat Pertengahan. Kursus ini dianjurkan bagi mengukuhkan kemahiran kepimpinan dan perundingan dalam kalangan para pegawai.
Kursus ini telah dihadiri oleh 24 orang pegawai dari sembilan kementerian, agensi/jabatan berbeza seperti Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Majlis Amanah Rakyat (MARA), Jabatan Audit Negara, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Kementerian Pertahanan (MOD) serta Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).
Matlamat kursus ini adalah untuk menyediakan dan meningkatkan kefahaman para peserta dengan konsep-konsep kepimpinan yang terkini bagi membantu mereka sebagai penjawat awam. Selain itu, kursus ini bertujuan bagi mengukuhkan lagi kemahiran dan kemampuan untuk berfikir secara kritis dan analitik agar para peserta ini dapat mempunyai keyakinan yang tinggi dalam mengetuai organisasi masing-masing. Selain itu juga, kursus ini mempunyai objektif untuk meniyapkan ketahanan mental para pegawai dalam menangani isu-isu dan situasi di pejabat secara diplomatik.
Antara slot-slot yang direka untuk para pegawai ini adalah Introduction to Leadership; Theory & Mechanics of Neuro-Linguistic Programming (NLP) to Improve Leadership and Relationship; Leadership Meta-Programme; Amazing Leader with Inspiring NLP Communication; The Power Zone of a Leader; Reframing Obstacles: Circle of Excellence, Swish, Perceptual Position, New Behaviour Generator; Managing Stress at Work; Understanding and Resolving Conflict; dan Maintaining Workplace Harmony.
Encik Hamizan Hashim, Pengarah LNPD telah menyampaikan ucapan penutup serta menyampaikan sijil penyertaan kepada para peserta pada hari terakhir kursus.
Disediakan oleh:
Pusat Kepimpinan, Perundingan dan Diplomasi Awam (LNPD)