Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR) telah menganjurkan Anugerah Buku IDFR-Albukhary 2021 dengan jayanya pada 9 Disember 2021 sebagai salah satu acara sambutan ulang tahun penubuhan IDFR yang ke-30. Majlis ini diadakan bagi mengiktiraf serta menghargai sumbangan penulis buku tempatan dalam bidang hubungan antarabangsa dan diplomasi. Selain itu, ia juga bertujuan untuk memberi suntikan semangat kepada para penulis sebagai galakan untuk terus menghasilkan buku yang berkualiti dalam bidang tersebut.
Dalam ucapan perasmiannya, Yang Berhormat Dato' Saifuddin Abdullah, Menteri Luar Negeri Malaysia mengucapkan tahniah kepada IDFR atas penganjuran Anugerah Buku IDFR yang pertama dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Tan Sri Sayed Mokhtar Albukhary atas sumbangan penajaan beliau. Dato’ Saifuddin seterusnya menekankan bahawa asas untuk menjadi diplomat bertaraf dunia adalah dengan memiliki pengkhususan, akreditasi, dan perkongsian bidang ilmu tertentu serta mengakui implikasi daripada memiliki pengetahuan tersebut. Beliau kemudiannya memetik kata-kata Prof. Sayed Najib Alattas, “ilmu adalah makna yang datang dari maklumat yang benar dan bermanfaat” dan mengetengahkan tiga tonggak budaya ilmu; 1. pengiktirafan, pemilihan, dan pelantikan orang yang berilmu ke kedudukan penting tertentu; 2. usaha berterusan; dan 3. perkongsian ilmu.
Majlis diteruskan dengan penyampaian Anugerah Buku Cemerlang Hubungan Antarabangsa 2021 yang telah disampaikan oleh Dato’ Saifuddin Abdullah. Sebaik menerima anugerah tersebut, pengarang dan pemenang Tan Sri Abdul Kadir Mohamad menyatakan dua sebab utama beliau menulis bukunya, Malaysia-Singapore Fifty Years of Contentions 1965-2015. Pertama, dalam konteks hubungan dua hala Malaysia dengan negara-negara lain, beliau merasakan bahawa isu-isu strategik, ekonomi, dan lain-lain yang wujud antara Malaysia dan Singapura akan kekal antara yang paling penting untuk ditangani di masa hadapan. Di samping itu, beliau ingin menunjukkan bahawa cerita yang rumit boleh diceritakan dalam bahasa yang mudah. Dalam ucapannya, Tan Sri Kadir berharap buku itu dapat membantu pegawai kementerian menulis karya mereka sendiri mengenai kerjaya dan pengalaman mereka sebagai diplomat.
Selepas acara menandatangani buku, Tan Sri Kadir secara peribadi menghadiahkan senaskah buku yang telah ditandatangani kepada Dato’ Saifuddin dan 50 naskah lagi kepada IDFR. Acara yang dijalankan secara hibrid ini telah dihadiri oleh pegawai Kementerian Luar Negeri, wakil Yayasan Albukhary, Panel Kehormat IDFR, wakil media, dan tetamu jemputan secara dalam talian.
Disediakan oleh:
Pusat Kepimpinan, Perundingan dan Diplomasi Awam (LNPD)