Pusat Kajian Politik dan Diplomasi Ekonomi (PSED), IDFR telah menganjurkan sebuah program bertajuk Bengkel Pengemaskinian Prosedur Operasi Standard untuk Pengurusan Krisis pada 21 dan 22 September 2022 di Sofitel Kuala Lumpur Damansara.
Matlamat utama bengkel ini adalah untuk menghasilkan prosedur operasi standard (SOP) yang efektif dan komprehensif untuk pengurusan krisis di pejabat-pejabat Perwakilan Malaysia di luar negara terutama sekali berkaitan aliran komunikasi dan pelaporan sewaktu krisis. Hasil daripada bengkel ini akan dijadikan asas dan panduan kepada pembentukan modul bagi sebuah kursus kesiapsiagaan dan pengurusan krisis yang akan diperkenalkan oleh IDFR kelak.
Bagi mencapai matlamat ini, para peserta telah dikehendaki untuk menyemak dan mengemas kini carta aliran komunikasi dan pelaporan yang terdapat di dalam buku panduan Standard Operating Procedures for Humanitarian Crisis Management yang telah dikeluarkan oleh Wisma Putra pada tahun 2013.
Bengkel ini telah dihadiri oleh seramai 20 orang peserta yang terdiri daripada para pegawai dari Kementerian Luar Negeri, Malaysia, Jabatan Perdana Menteri dan IDFR.
Hari pertama bengkel pada 21 September 2022 telah dimulakan dengan pembentangan ringkas berkenaan latar belakang, objektif dan hala tuju bengkel tersebut. Seterusnya, satu sesi perkongsian pengalaman telah diadakan dalam kalangan para peserta yang telah terlibat secara langsung dalam pengurusan krisis di pejabat-pejabat perwakilan Malaysia di luar negara. Hari pertama juga berjaya menghasilkan carta aliran komunikasi dan pelaporan sewaktu krisis.
Pada hari kedua pula, perbincangan telah diarahkan kepada persiapan untuk melaksanakan pelan evakuasi sewaktu krisis berlaku termasuk pengurusan dokumen, dana, dan pangkalan data warganegara Malaysia di luar negara serta persiapan dari segi logistik dan keperluan peribadi.
Sesi yang berlangsung selama dua hari tersebut telah berjaya mengumpulkan maklumat-maklumat yang penting dalam membina aliran komunikasi dan pelaporan yang lebih efektif sewaktu krisis. Pada masa yang sama, pelbagai cadangan juga telah diberikan agar para pegawai dan kakitangan yang berkhidmat di pejabat-pejabat perwakilan Malaysia dapat lebih meningkatkan tahap kesiapsiagaan dalam menghadapi sesuatu krisis.
Disediakan oleh:
Pusat Kajian Politik dan Diplomasi Ekonomi (PSED)