Kursus 'Strategic and Security Analysis'
Pusat Kajian Politik dan Diplomasi Ekonomi (PSED), IDFR telah menganjurkan Strategic and Security Analysis Course pada 19 hingga 21 Oktober 2022. Kursus selama tiga hari tersebut diadakan secara fizikal di The Majestic Hotel, Kuala Lumpur dengan kehadiran seramai 20 orang peserta. Para peserta terdiri daripada pegawai gred 41-52 dari Jabatan Perdana Menteri; Kementerian Luar Negeri, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Pulau Pinang dan Perak serta Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Sepanjang tiga hari, para peserta telah didedahkan dengan pelbagai modul seperti Malaysia’s Foreign Policy and Strategic Interests; Tools for Strategic Analysis in Decision Making; Malaysia’s National Defence Policy and Strategy; Strategic Thinking in Organisation Management; Intelligence and National Security Analysis; Crisis Management: A Fundamental Strategic Overview serta Strategic Approaches in Preventing and Countering Violent Extremism. Melalui kursus ini, para peserta dapat meningkatkan kefahaman, kemahiran, dan keupayaan mereka untuk mengaplikasikan pemikiran kritis dalam menilai isu dan cabaran; mengenal pasti isu-isu semasa yang berkaitan keselamatan tradisional dan bukan tradisional; memperoleh kemahiran dalam teknik analisis dan penyelesaian masalah; serta meluaskan rangkaian profesional mereka.
Adalah menjadi satu penghormatan untuk IDFR untuk menampilkan beberapa penceramah dan Pakar Bidang Khusus (SMEs) bagi kursus ini. Antara mereka yang berkongsi kepakaran dan pengalaman bersama peserta ialah Encik Nazarudin Ja'afar, Timbalan Ketua Pengarah (Jabatan Perancangan Dasar dan Penyelarasan, Kementerian Luar Negeri Malaysia); Encik Wan Fadzil Adlan, Bekas Pengurus (ILSAS Group); Cik Nor Aini Mohd Nordin, Penolong Pengarah (Jabatan Keselamatan Maritim, Malaysian Institute of Defence and Security); En. Aznir Abdul Malek, Bekas Pengarah Kualiti (Tenaga Nasional Berhad); ACP Goh Saw Khim, Penolong Pesuruhjaya (Polis Diraja Malaysia); Kolonel Azlan Iskandar Dato’ Abdul Ghani (Bersara) Delegate, Military and Armed Groups (International Committee of the Red Cross) dan Encik Asrul Daniel Ahmed, Pengarah, Bahagian Komunikasi Strategik Digital (Pusat Serantau Asia Tenggara Bagi Mencegah Keganasan).
Setiap modul dibentangkan dalam bentuk yang berbeza namun secara interaktif seperti latihan simulasi, perbincangan kumpulan dan aktiviti di mana para peserta menjalani persekitaran pembelajaran yang aktif. Kursus ini juga menggalakkan perbincangan dua hala, di mana para peserta dan penceramah bertanyakan soalan dan berkongsi pendapat mereka sepanjang kuliah. Pada sesi terakhir bagi setiap hari kursus, para peserta telah memberikan maklum balas dan cadangan mereka berkenaan kursus ini melalui Google Form bersama komen-komen yang positif dan membina. Ucapan penutup telah disampaikan oleh En. Harvinder Singh Ramday, Ketua Penolong Pengarah PSED, IDFR, disusuli dengan majlis penyampaian sijil kepada para peserta.
Disediakan oleh:
Cik Hanun Insyirah Ishak dan Cik Aida Yasmin Azhar
Pusat Kajian Politik dan Diplomasi Ekonomi (PSED)