Course on the International Front
IDFR memperkenalkan program baharu yang dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Awam iaitu Course on the International Front yang diadakan di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur pada 1 hingga 3 November 2022. Kursus ini dihadiri oleh 37 orang peserta yang terdiri daripada para pegawai dari pelbagai kementerian dan agensi seperti Jabatan Perkhidmatan Awam; Institut Pentadbiran Awam Nasional; Kementerian Alam Sekitar dan Air; Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; Kementerian Sumber Manusia; Kementerian Kewangan; Jabatan Khidmat Masyarakat; dan Jabatan Pembangunan Wanita.
Objektif program ini adalah untuk memberi kesedaran kepada penjawat awam mengenai peranan dan tanggungjawab dalam menangani isu-isu antarabangsa. Program ini menawarkan latihan dari aspek hubungan antarabangsa dan amalan diplomatik di mana para peserta telah didedahkan kepada kemahiran interpersonal, pengurusan dan kemahiran sosial. Modul kursus yang dijalankan adalah Malaysia’s Foreign Policy; Protocol Matters and Handling of Visits; Promoting Malaysia as the Preferred Investment and Tourist Destination; Cultural Awareness; Diplomatic Presence; International Negotiation; On the International Front (Going Global); dan Fine Dining Practicum. Setiap modul disampaikan oleh pakar dalam bidang tersebut dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.
Program ini telah menyaksikan penyertaan secara aktif, perbincangan yang menarik, dan pengalaman pembelajaran yang positif melalui sesi latihan dan perbincangan kumpulan. Pada akhir program, Ketua Pengarah IDFR, Dr Shazelina Zainul Abidin mengadakan sesi perkongsian tentang pengalamannya sebagai Diplomat Kanan diikuti dengan ucapan penutup oleh YBhg. Dato’ Ts. Kamel Mohammed, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi).
Disediakan oleh:
Encik Aiman Haikal Abdul Rahman
Seksyen Hal Ehwal Korporat (CAS)