Negotiation Course for Junior Level Officers
Pusat Kepimpinan, Perundingan dan Diplomasi Awam (LNPD) telah menganjurkan kursus Negotiation Course for Junior Level Officers dengan jayanya bermula 14 hingga 16 Mac 2023. Seramai 37 orang peserta untuk Gred 41 sehingga 44 dari pelbagai kementerian, jabatan dan agensi kerajaan Malaysia telah terlibat dalam kursus tersebut. Kursus yang berlangsung selama tiga hari ini direka untuk memperkukuh kemahiran perundingan para pegawai kerajaan dalam mewakili organisasi mereka sebelum mereka terlibat secara langsung dalam sebarang amalan perundingan di platform antarabangsa. Kursus ini diharapkan dapat meningkatkan kefahaman para peserta tentang peraturan asas perundingan dalam mana-mana persekitaran dan mempersiapkan diri mereka dengan alat-alat dan taktik-taktik dalam persediaan untuk menjadi seorang perunding yang berjaya.
Penceramah utama menyampaikan syarahannya tentang perkara-perkara penting dalam perundingan yang akan membantu para peserta untuk membina teras kecekapan mereka dalam bidang tersebut. Simulasi perundingan juga turut dijalankan untuk membolehkan para peserta merasai pengalaman berhadapan dengan situasi sebenar proses perundingan antara negara. Pihak LNPD turut menjemput penceramah jemputan lain untuk berkongsikan pengalaman mereka sebagai pengamal sebenar dalam perundingan, iaitu Datuk Hiswani Harun, Dato’ Mohd Khalid Abbasi, dan Puan Aznifah Isnariah Abdul Ghani. Para penceramah tersebut menghuraikan aspek-aspek perundingan bilateral dan multilateral serta berkongsikan pengalaman mereka dan cabaran-cabaran yang dihadapi dalam proses perundingan.
Dalam ucapan penutupnya, Encik Hamizan Hashim, Pengarah LNPD, menyampaikan penghargaan khusus dan terima kasih kepada para penceramah yang telah menyampaikan ceramah serta berkongsi pandangan dan pengalaman mereka yang sangat bernilai kepada para peserta. Beliau percaya bahawa para peserta akan pulang ke tempat kerja masing-masing dengan pandangan dan kemahiran yang luas yang diperoleh daripada kursus ini. Beliau juga mengharapkan agar para peserta dapat mengamalkan ilmu perundingan yang telah diajar dalam kursus ini bukan sahaja di tempat kerja masing-masing, bahkan dalam kehidupan seharian mereka.