Khamis, 23 Januari 2025

faq  contact us  feedback  Peta laman

Malaysian Technical Cooperation Programme (MTCP): Diplomatic Training Course for International Participants 2023

mtcp2023 main

Setelah pandemik wabak COVID-19 berakhir, kursus secara fizikal tidak lagi terbatas sama ada di peringkat tempatan atau antarabangsa. Pada tahun ini, Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR) telah berjaya menjalankan semula Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP): Diplomatic Training Course for International Participants secara bersemuka, bermula dari 23 Julai 2023 hingga 1 Ogos 2023. Kursus tersebut telah mengumpulkan kesemua lima belas (15) diplomat dari Azerbaijan, Bosnia dan Herzegovina, Brunei, Kemboja, Fiji, Ghana, Kazakhstan, Laos, Maldives, Mexico, Pakistan, Filipina, Senegal, Sri Lanka dan Turkiye di Kuala Lumpur.

Sepanjang sepuluh (10) hari, para peserta telah didedahkan dengan amalan diplomasi di Malaysia serta pengetahuan dan perkongsian tentang kemahiran diplomatik dan pengendalian hubungan luar negara melalui latihan yang diadakan di IDFR, dan juga di Wisma Putra dengan kerjasama Bahagian Kerjasama dan Pembangunan Antarabangsa (ICADD). Antara modul yang dipelajari adalah Malaysia’s Foreign Policy; Malaysia’s Bilateral and Multilateral Diplomacy Practices; Malaysia and ASEAN; Crisis Management; Economic Diplomacy and Its Practices; Role of Public Diplomacy in Foreign Policy; Strategic Leadership and Management for Officers; Media Relations and Media Skills; International Negotiations; Futurist Thinking; dan Protocol Practices and Diplomatic Etiquette. Setiap sesi telah disampaikan oleh penceramah terkemuka daripada kalangan kor diplomatik, pegawai/pengamal yang sedang berkhidmat, pakar subjek khusus (SME) dan ahli akademik.

Para peserta didedahkan dengan pengalaman dan persekitaran di Malaysia melalui beberapa lawatan lapangan. Mereka dibawa melawat Kompleks Kraf Kuala Lumpur, Pusat Bandaraya Kuala Lumpur, Jejak Warisan di sekitar Pasar Seni dan Dataran Merdeka, Pertunjukan Budaya di Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC), dan juga merasai gastronomi tempatan melalui sesi Malaysian Cultural Delicacies. Para peserta turut melawat pusat pentadbiran di Putrajaya dan mercu tanda lain seperti Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya dan Masjid Putrajaya. Lawatan ke negeri Melaka merupakan pelengkap bagi kursus ini di mana para peserta diberi taklimat oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) tentang pembangunan kerajaan negeri dan juga pembentukan kota tersebut yang kaya dengan sejarah.

Secara keseluruhannya, semua peserta memberikan komitmen dan penglibatan sepenuhnya dalam setiap sesi dan memberikan maklum balas positif terhadap modul dan program. Kursus ini telah diakhiri dengan Majlis Penutupan dan Penyampaian Sijil pada petang Selasa, 1 Ogos 2023. Turut hadir semasa majlis tersebut ialah H.E. Abdoulaye Barro (Duta Besar Senegal); H.E. Air Chief Marshal Dabare Liyanage Sumangala Dias (Pesuruhjaya Tinggi Sri Lanka; H.E. Ali Hussain Didi (Pesuruhjaya Tinggi Republik Maldives); H.E. Irfan Davudov (Duta Besar Republik Azerbaijan); Menteri Luis Enrique Verti (Timbalan Ketua Perwakilan Kedutaan Mexico di Malaysia) serta wakil dari kedutaan Bosnia dan Herzegovina, Laos, Filipina, Kazakhstan, Ghana, Kemboja, Pakistan dan Fiji bagi meraikan peserta yang berjaya menamatkan kursus.

         mtcp2023 1   mtcp2023 2   mtcp2023 3

 

Disediakan oleh:

Cik Hanun Insyirah Ishak dan Cik Aida Yasmin Azhar
Pusat Kajian Politik dan Diplomasi Ekonomi (PSED)

fbk

twt

int

tk

yt