Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP): Diplomasi Budaya 2023
Pusat Diplomasi Bahasa dan Budaya (CLCD), Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR) telah menganjurkan Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP): Diplomasi Budaya bermula dari 5 hingga 14 September 2023. Kursus tersebut telah dihadiri oleh enam belas (16) orang peserta daripada 15 buah negara iaitu Azerbaijan, Bosnia dan Herzegovina, Kemboja, Cameroon, Indonesia, Republik Kyrgyz, Malaysia, Maldives, Mongolia, Namibia, Pakistan, Filipina, Sri Lanka, Uzbekistan, dan Vietnam.
Kursus tersebut dirangka untuk diplomat pertengahan di bawah inisiatif Kerjasama Selatan-Selatan bagi tujuan memberi pendedahan aspek nilai-nilai budaya, kepercayaan dan tanggapan di kalangan kumpulan budaya yang pelbagai. Aspek komunikasi antara budaya diberi penekanan untuk meningkatkan kesedaran para peserta berhubung bagaimana psikologi masyarakat boleh menentukan cara penduduk berlatar belakang budaya dan etnik yang berbeza berinteraksi antara satu sama lain.
Antara fokus utama pengisian kursus tersebut adalah Cultural Diplomacy in the ASEAN Arena, Conceptual Framework of Culture and Diversity, Humanising Diplomacy through Culture, Language and Diplomacy dan Cultural Dimensions in Negotiations. Selain itu, sesi-sesi kuliah untuk Cross-Cultural Communication dan Interactive Malay for Daily Conversation turut dilaksanakan. Modul-modul tersebut telah memberi pencerahan kepada para peserta mengenai peranan budaya dalam hubungan antarabangsa dan bagaimana kerjasama antara badan-badan kerajaan dapat dicapai menerusi diplomasi budaya.
Sepanjang kursus tersebut dilaksanakan, para peserta telah terlibat dalam pelbagai pengalaman pembelajaran yang memberangsangkan. Pengalaman ini termasuklah sesi kuliah interaktif, perbincangan berkumpulan, latihan simulasi yang mendalam, dan kajian kes yang beerti.
Seterusnya, para peserta diberi peluang untuk melawat Kementerian Luar Negeri di mana mereka terlibat secara aktif dalam perbincangan bersama pegawai-pegawai yang mewakili pelbagai negara. Selain itu, mereka juga diberi peluang untuk melawat Menara Berkembar Petronas di mana para peserta menerima taklimat komprehensif mengenai komitmen tidak berbelah bahagi Petronas terhadap kemajuan. Lawatan ini diteruskan lagi dengan mengunjungi dek pemerhatian di tingkat 86 yang menyajikan para peserta dengan pemandangan yang memikat. Para peserta juga berpeluang untuk didedahkan dengan dunia perdagangan antarabangsa di Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS). Di sini, mereka mendapat pendedahan yang berharga mengenai Pemacu Eksport dari Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan turut melawat platform perniagaan MIHAS, yang menerangkan perkembangan industri Halal yang semakin pesat di Malaysia.
Selain itu, para peserta juga telah berkesempatan untuk melawat Negeri Sembilan dan diberi taklimat oleh Pejabat Daerah Kuala Pilah. Taklimat ini tidak hanya merangkumi pembangunan bandar diraja tetapi juga menyelami latar belakang sejarah yang secara tidak langsung menyumbang kepada pembentukan Negeri Sembilan. Di Kompleks Kraf Kuala Lumpur, peserta-peserta mendapat peluang untuk melukis dan mencanting Batik. Lawatan mereka ke Pusat Pelancongan Malaysia (MATiC) telah memberikan pendedahan yang berharga mengenai pelbagai budaya etnik dan kaum dalam membentuk landskap kepelbagaian Malaysia.
Majlis Penutupan dan Penyampaian Sijil telah diadakan pada 14 September 2023. Encik Devrin Jack, Setiausaha Bahagian Kerjasama dan Pembangunan Antarabangsa (ICADD) telah menyampaikan ucapan penutup dan menganugerahkan sijil kehadiran kepada enam belas (16) orang peserta. Cik Maria Rowena Corpuz dari Filipina kemudiannya menyampaikan ucapan penghargaan bagi pihak peserta kursus. Turut hadir ke majlis tersebut adalah Encik R. Suresh Kumar, Pengarah CLCD, Kuasa Usaha dan Wakil-wakil Kedutaan terlibat. Upacara tersebut berakhir dengan gilang-gemilang di mana para tetamu dihiburkan dengan lagu 'Rasa Sayang' dan tarian 'Joget Penghibur' yang memeriahkan suasana. Para peserta yang mengenakan pakaian tradisi mereka telah mencuri perhatian tetamu dengan persembahan yang menarik.
Terjemahan oleh:
Cik Aliah Shafirra Shafel Hamizi
Pusat Diplomasi Bahasa dan Budaya