logo ms

Khamis, 30 Mei 2024

faq  |  contact us  |  feedback  |  Peta laman

Berita Terkini

Diplomatic Training Programme for Timor-Leste Participants

DTPTL1 main

Di bawah kerjasama tiga hala antara Malaysia, Australia dan Timor-Leste, IDFR dengan kerjasama Sekretariat Kebangsaan ASEAN-Malaysia (AMNS) telah menganjurkan Diplomatic Training Programme for Timor-Leste Participants dari 18 hingga 22 September 2023. Program khas ini bertujuan untuk memberi sokongan pembangunan kapasiti kepada Timor-Leste sebagai persediaan ke arah keahlian ASEAN. Program ini telah dihadiri oleh seramai 14 peserta yang terdiri daripada diplomat dan pegawai kerajaan Timor-Leste daripada pelbagai kementerian.

Selaras dengan skop dan matlamat kerjasama tiga hala tersebut, program lima (5) hari itu diisi dengan ceramah, perbincangan ilmiah, latihan simulasi dan juga lawatan sambil belajar. Para peserta telah didedahkan dengan pelbagai topik mengenai hubungan luar dan amalan diplomasi menerusi latihan yang diadakan di IDFR dan di Wisma Putra. Setiap sesi telah disampaikan oleh penceramah yang berpengalaman dari kor diplomatik, pegawai/pengamal yang sedang berkhidmat dan pakar subjek khusus (SME).

Dalam mendalami proses dan mekanisme ASEAN, Sekretariat Kebangsaan ASEAN-Malaysia (AMNS) telah memberi pencerahan kepada para peserta tentang ASEAN Relations, International Negotiations in ASEAN dan juga Experience Sharing Session with AMNS. Selain itu, Suruhanjaya Tinggi Australia turut memberi perkongsian mengenai Role of Australia as ASEAN Dialogue Partner dan sesi perbincangan mengenai ADMM - ADMM Plus Mechanisms yang menampilkan pakar dari Kementerian Pertahanan Australia dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia juga turut diadakan.

Sebagai salah satu pengisian program, para peserta telah berkesempatan untuk menghadiri majlis makan malam bersama pegawai tinggi daripada Kementerian Luar Malaysia, Suruhanjaya Tinggi Australia, serta Kedutaan ASEAN di Kuala Lumpur. Para peserta juga berpeluang melawat sekitar pusat pentadbiran dan mercu tanda penting di Putrajaya. Semasa berada di Kuala Lumpur, mereka melawat Menara Kuala Lumpur dan Jejak Warisan yang ikonik di sekitar Pasar Seni dan Dataran Merdeka serta Kompleks Kraf Kuala Lumpur di mana mereka diperkenalkan dengan kraftangan Perusahaan Kecil Sederhana dan penghasilan seni tempatan untuk negeri-negeri kecil.

Secara keseluruhannya, semua peserta telah memberikan komitmen dan penglibatan sepenuhnya sepanjang program berlangsung. Program ini diakhiri dengan Majlis Penutupan dan Penyampaian Sijil pada 22 September 2023, yang dihadiri oleh TYT Joana Veneranda Amaral (Duta Besar Republik Demokratik Timor-Leste), Puan Clare Gatehouse (Kaunselor Politik dan Ekonomi, Suruhanjaya Tinggi Australia), dan Encik Mohd Suhaimi Ahmad Tajuddin (Timbalan Ketua Pengarah, Bahagian Komuniti Ekonomi ASEAN, Sekretariat Kebangsaan ASEAN-Malaysia). Kesemua peserta telah dianugerahkan sijil penyertaan oleh Puan Nuryante Mohd Yazid (Pengarah, Pusat Kajian Politik dan Diplomasi Ekonomi, IDFR), sebagai simbolik kejayaan mereka dalam menyempurnakan program yang penuh bermanfaat tersebut.

               DTPTL1 1  DTPTL1 2  DTPTL1 3

Disediakan oleh:
Cik Hanun Insyirah Ishak
Pusat Kajian Politik dan Diplomasi Ekonomi (PSED)

Cetak Emel