Tahun ini, IDFR telah melancarkan dua penerbitan dalaman, bertajuk ‘Diplomacy Through the Pandemic” dan “Economic Diplomacy for Developing Asia” pada hari Selasa, 26 September 2023. Acara tersebut diadakan di Hotel EQ Kuala Lumpur dan dirasmikan oleh Yang Berhormat Datuk Mohamad Alamin, Timbalan Menteri Luar Malaysia. Seramai 120 tetamu telah turut serta menyambut acara tersebut, termasuk penulis buku, kor diplomatik, pegawai kerajaan dan ahli akademik dari badan pemikir dan universiti. Seramai 17 pegawai dari Perwakilan Malaysia di luar negara juga telah menyertai ceramah tersebut secara dalam talian.
Sebagai pusat latihan di bawah Kementerian Luar Negeri Malaysia, IDFR terlibat secara aktif dalam menghasilkan penerbitan mengenai topik yang berkait dengan dasar luar Malaysia dan isu-isu antarabangsa. “Diplomacy Through the Pandemic” yang disunting oleh YBhg. Dato’ Dr Shazelina Zainul Abidin, mengumpulkan pengalaman dan perjalanan diplomat terkemuka Malaysia dalam menguruskan pandemik COVID-19 semasa berkhidmat di luar negara. Buku ini dibahagikan mengikut bab-bab serantau, dengan menampilkan realiti kehidupan harian seorang diplomat dan bagaimana mereka menguruskan pandemik COVID-19 di tempat bertugas yang penuh dengan pelbagai rintangan, seperti kawalan pergerakan dan sumber yang sangat terhad.
Buku kedua yang dilancarkan bertajuk “Economic Diplomacy for Developing Asia” juga sangat relevan dan bertepatan bagi Malaysia dan rantau asia secara keseluruhannya. Buku ini ditulis oleh Profesor Sufian Jusoh, seorang tokoh yang dihormati dalam bidang perdagangan antarabangsa dan ekonomi, dengan pengalaman yang luas dalam pembangunan dasar dan program konsultasi di peringkat kerajaan dan bukan kerajaan. Walaupun perintah kawalan pergerakan yang ketat semasa pandemik menghalang pelancaran buku ini pada tahun 2021, buku ini tetap menjadi perbincangan dan ulasan penting dalam wacana ekonomi negara, terutamanya untuk pengamal dan pembuat dasar dalam dan luar negara.
Disediakan oleh:
Cik Hanun Insyirah Ishak dan Cik Aida Yasmin Azhar
Pusat Kajian Politik dan Diplomasi Ekonomi (PSED)