logo ms

Khamis, 25 Julai 2024

faq  |  contact us  |  feedback  |  Peta laman

Berita Terkini

A Partnership For The Future: ASEAN-Australia Ties After The First 50 Years

AAT50 main

Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR) dengan kerjasama Suruhanjaya Tinggi Australia telah menganjurkan pelancaran laporan bertajuk: “A Partnership For The Future: ASEAN-Australia Ties After The First 50 Years” di Auditorium IDFR pada hari Selasa, 11 Jun 2024. Program ini telah dihadiri oleh seramai 120 pegawai daripada Kementerian Luar Negeri dan pelbagai agensi kerajaan, kor diplomatik, pemimpin korporat, serta ahli akademik dan badan pemikir.

Laporan bertajuk “Comprehensive Strategic Partners: Australia and ASEAN after the first 50 years” mencerminkan hubungan ASEAN-Australia sejak Australia menjadi Rakan Dialog pertama ASEAN pada 1974, sehingga penubuhan Perkongsian Strategik Komprehensif ASEAN-Australia pada 2021 dan sambutan 50 tahun hubungan ASEAN-Australia pada 2024.

Acara ini dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh YBrs. Amb. Sarimah Akbar, Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan IDFR, dan ucapan perasmian yang disampaikan oleh PYT Danielle Heinecke, Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia.

Acara diteruskan dengan pembentangan oleh dua pengarang bersama laporan tersebut, Profesor Nicholas Farrelly (University of Tasmania and Australia-ASEAN Council Board Member) dan Dr Lina Alexandra (Centre for Strategic and International Studies Jakarta). Profesor Nicholas memberi penerangan tentang bagaimana hubungan antara ASEAN dan Australia berkembang dan diperkukuh dalam tempoh 50 tahun yang lalu. Beliau meneruskan dengan memberi penekanan tentang bidang potensi kerjasama yang boleh diterokai pada masa hadapan. Dengan cabaran yang muncul, Dr Lina menekankan bahawa ASEAN harus mengambil pendirian tegas mengenai "Kepusatan ASEAN" (ASEAN Centrality) dan memimpin usaha mengukuhkan kerjasama dengan kuasa pertengahan. Ketelusan, kerjasama yang berkesan dengan AUKUS dan Quad serta hubungan rakyat dengan rakyat adalah antara perkara yang diketengahkan oleh Dr Lina tentang bagaimana hubungan ASEAN-Australia harus bergerak ke hadapan.

Sesi tersebut diikuti dengan maklum balas daripada panel dua pakar Malaysia iaitu Encik Thomas Daniel (Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia) dan Dr Nur Shahadah Jamil (Universiti Malaya). Encik Thomas menegaskan cadangan untuk model belia bersepadu ASEAN-Australia dan membantu keahlian penuh Timor-Leste dalam ASEAN adalah penting dalam memacu hubungan ASEAN-Australia pada masa hadapan. Beliau juga menekankan bahawa Australia perlu berhemah dalam berurusan dengan negara anggota ASEAN yang mempunyai pendekatan dan pandangan berbeza mengenai persaingan kuasa besar dan isu seperti krisis di Myanmar dan Laut China Selatan, di mana hal ini boleh diketengahkan tanpa kekangan melalui saluran Track 1.5 atau Track 2. Dr Shahadah meneruskan sesi tersebut dengan menyatakan bahawa laporan tersebut adalah seimbang kerana ia bukan sahaja menekankan pencapaian sejak beberapa dekad yang lalu tetapi juga realiti yang berlaku di rantau ini. Beliau menekankan tiga “realiti” menarik yang disebut dalam laporan itu, iaitu kedekatan lokasi Australia dengan Asia Tenggara yang membezakan dirinya daripada Rakan Dialog yang lain; sifat hubungan ASEAN-Australia yang pelbagai rupa dan berperingkat; dan perbezaan dalam ASEAN mengikut keutamaan pendekatan dan kepentingan negara bagi setiap negara anggota.

Pelancaran laporan kemudiannya diakhiri dengan sesi soal jawab yang interaktif bersama penonton diikuti dengan jamuan ringan dan sesi rangkaian bersama penceramah.

 

  AAT50 1  AAT50 2  AAT50 3

 

Disediakan oleh:
Cik Hanun Insyirah Ishak and Cik Aida Yasmin Azhar
Pusat Kajian Politik dan Diplomasi Ekonomi (PSED)

Cetak Emel