Khamis, 12 Disember 2024

faq  contact us  feedback  Peta laman

Forum on “The Future of ASEAN Under Malaysia's Chairmanship”

 ASEAN main

Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR) telah menganjurkan sebuah forum bertajuk “The Future of ASEAN Under Malaysia’s Chairmanship” pada 11 Julai 2024 bertempat di Zenith Hotel, Putrajaya. Program tersebut telah dihadiri oleh seramai 100 orang pegawai dari Kementerian Luar Negeri dan kementerian serta agensi kerajaan lain, ahli akademik, NGO dan badan pemikir.

Penganjuran forum tersebut merupakan satu inisiatif dalam membincangkan cabaran serta pencapaian ASEAN (Association of Southeast Asian Nations) sebagai sebuah pertubuhan serantau serta langkah-langkah yang Malaysia perlu ambil untuk membangunkan masa hadapan ASEAN yang lebih baik. Seperti yang sedia maklum, Malaysia akan menjadi Pengerusi ASEAN pada tahun 2025. Dalam menghadapinya, Malaysia akan menjadi tuan rumah kepada pelbagai program, mesyuarat dan persidangan kemuncak ASEAN pada tahun hadapan, seraya menetapkan hala tuju yang jelas untuk mengemudi ASEAN kepada masa hadapan yang cerah. Sehubungan itu, forum ini menghimpunkan pakar dari kalangan ahli akademik dan pengamal industri yang boleh dimanfaatkan daripada pandangan dan pengalaman mereka melalui perbincangan yang komprehensif dan seimbang.

Tiga orang panelis yang mempunyai kepakaran berkaitan topik perbincangan telah dijemput untuk menjadi pembicara bagi forum ini, iaitu Profesor Dr Sufian Jusoh, Pengarah, Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Ruhanas Harun, Profesor, Jabatan Hubungan Antarabangsa, Keselamatan dan Undang-undang, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Dato’ Dr Ilango Karuppannan, ahli Persatuan Bekas Duta-Duta Besar Malaysia (AFMA).

Acara ini dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada YBhg. Dato’ Syed Bakri Syed Abdul Rahman, Ketua Pengarah IDFR yang menyatakan bahawa forum penting bagi mendapatkan input-input untuk persediaan Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 yang boleh diambil manfaat oleh para pemegang taruh, terutamanya penggubal polisi, pengamal bidang dan ahli akademik.

Sesi seterusnya dilanjutkan dengan sesi perbincangan forum bersama ketiga-tiga panelis jemputan. Penyelidik Pakar IDFR, Dr Murni Wan Mohd Nor telah menjadi moderator bagi forum tersebut. Ketiga-tiga panelis telah mengutarakan pandangan yang bernas mencakupi bukan sahaja perihal isu ekonomi, perdagangan, keselamatan dan konflik pertikaian wilayah, bahkan turut membincangkan isu-isu keselamatan bukan tradisional (non traditional security) seperti isu pelarian, perubahan iklim, hak asasi manusia, keterjaminan makanan (food security) dan sebagainya. Malaysia perlu bersiap siaga untuk menghadapi isu-isu tersebut yang memerlukan dialog dan perundingan berterusan di peringkat negara-negara ASEAN bagi menyelesaikannya. Para panelis bersetuju bahawa Malaysia perlu mengemudi ASEAN dengan gaya The ASEAN Way yang menjadi prinsip kepada ASEAN buat sekian lamanya bagi terus mengekalkan kestabilan dan keharmonian serantau.

Sesi forum bertambah menarik dengan sesi soal jawab daripada peserta yang mengutarakan persoalan dan pandangan mereka lantas menjadikan wacana perbincangan forum semakin mendalam. Forum tersebut diakhiri dengan sesi bergambar dengan semua peserta dan jamuan tengahari di dewan makan hotel.

ASEAN1   ASEAN2   ASEAN3

fbk

twt

int

tk

yt