logo ms

Selasa, 15 Oktober 2024

faq  |  contact us  |  feedback  |  Peta laman

Berita Terkini

Perbincangan Meja Bulat “Gaza and International Order: Diplomatic Challenges”

roundtable2024 main

Pada 6 Ogos 2024, Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR) telah mengadakan sebuah perbincangan meja bulat yang bertajuk “Gaza and International Order: Diplomatic Challenges”. Program tersebut diadakan bertujuan membincangkan perkembangan terkini bagi krisis yang sedang berlaku di Gaza. Dalam masa yang sama, perbincangan meja bulat tersebut turut membuat penilaian terhadap keadaan semasa bagi proses diplomatik di peringkat antarabangsa seraya mengukuhkan peranan Malaysia bagi memupuk hubungan yang aman dalam kalangan masyarakat antarabangsa.


Program tersebut dianjurkan oleh Pusat Kajian Politik dan Diplomasi Ekonomi (PSED) dan telah dihadiri oleh para tetamu jemputan daripada pelbagai badan pemikir, NGO, agensi kerajaan dan ahli akademik. Program tersebut menampilkan Dr Hisham A. (H.A.) Hellyer, Senior Associate Fellow di Royal United Services Institute for Defence and Security Studies – badan pemikir tertua di dunia – sebagai penceramah utama dan Puan Lubna Sheikh Ghazali, Legal Services & Solutions Manager at Asylum Access Malaysia (AAM) sebagai pembincang. Dr Murni Wan Mohd Nor, Penyelidik Pakar di IDFR menjadi moderator bagi program tersebut.


Perbincangan bermula dengan Dr Hellyer yang memberi penerangan tentang situasi semasa yang berlaku di Gaza. Beliau menekankan perihal kehilangan nyawa masyarakat Palestin yang tragik, dan dehumanisasi terang-terangan yang dilakukan oleh Israel dan sekutunya. Ia merupakan realiti yang menyedihkan di mana nilai kehidupan rakyat Palestin diberikan layanan berbeza berbanding nilai kehidupan rakyat Israel. Sikap dua darjat tersebut adalah ketara apabila dipertimbangkan dengan gesaan terbuka berhubung seruan untuk mengeluarkan waran tangkapan terhadap Vladimir Putin, yang berbeza dengan kecaman US apabila perkara yang sama turut dilakukan oleh pegawai-pegawai Israel berhubung krisis yang sedang berlaku. Pada penghujung sesi, Dr Hellyer membuat perkongsian ringkas tentang bagaimana aktiviti penerokaan di Tebing Barat masih berlangsung meskipun selepas 7 Oktober 2023, dan kemusnahan di Gaza mungkin mencetuskan gelombang aktiviti penerokaan terhadap bahagian-bahagian lain di Wilayah Palestin Yang Diduduki (Occupied Palestinian Territory).


Pada sesi Puan Lubna Sheikh Ghazali, beliau lebih memberi tumpuan terhadap perundangan antarabangsa, dengan membincangkan implikasinya terhadap perkembangan perundangan semasa berkaitan Gaza dan Palestin di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC). Beliau memulakan sesi dengan memaklumkan bahawa adanya permohonan berterusan oleh pendakwa raya ICC terkini untuk mengeluarkan waran tangkapan terhadap pegawai-pegawai Israel. Selain itu, beliau turut menekankan tentang perkembangan positif yang dipaparkan dalam proses diplomatik, seperti negara-negara yang mengeluarkan para diplomat dan memanggil pulang duta-duta mereka serta memutuskan hubungan dengan Israel disebabkan krisis yang berlaku di Gaza. Hal tersebut menunjukkan sokongan antarabangsa yang semakin meningkat terhadap masyarakat Palestin dan perakuan terhadap salah laku yang dilakukan oleh Israel.


Rumusannya, program tersebut berjaya memberi penerangan tentang peristiwa terkini yang berlaku seputar krisis semasa di Gaza dan mengenal pasti faktor-faktor yang memberikan ancaman untuk menghalang sebarang peluang keamanan antara kedua-dua pihak. Tumpuan khas diberikan terhadap perundangan antarabangsa, sama ada dari segi bagaimana ianya dilemahkan, serta bagaimana ia boleh digunakan untuk menamatkan konflik yang membunuh ramai manusia ini.


Program tersebut diteruskan dengan sesi soal jawab. Para peserta dari pelbagai latar belakang telah bertanyakan soalan-soalan kritis dan menghasilkan perbincangan yang bermanfaat. Program berakhir dengan sesi bergambar bersama pembicara jemputan dan semua hadirin peserta.

      roundtable2024 1  roundtable2024 2  roundtable2024 3

Cetak Emel