SiMPLE (Program Pemantapan Bahasa Penguasaan Bahasa Melayu Khas) Siri 1/2024
Pusat Diplomasi Bahasa dan Budaya (CLCD) telah menjalankan siri pertama SiMPLE (Program Pemantapan Bahasa Penguasaan Bahasa Melayu Khas) bagi tahun 2024 baru-baru ini. Program ini disesuaikan khusus untuk Kakitangan Ambilan Tempatan (KAT) yang bekerja di Malawakil di luar negara. Program tersebut terdiri daripada 25 peserta yang meliputi sembilan Malawakil iaitu Abuja, Accra, Algiers, Conakry, Dakar, Harare, Pretoria, Rabat dan Windhoek yang berlangsung selama 7 hari, dari 14 Mei 2024 hingga 30 Julai, 2024. Ia dijalankan pada setiap Selasa dan Khamis melalui platfom Zoom dari jam 5.00 petang hingga 7.00 malam (waktu Malaysia).
Kursus ini bertujuan untuk memberikan pemahaman asas Bahasa Melayu kepada KAT yang terpilih supaya mereka dapat menjalankan tanggungjawab harian mereka di malawakil. Program 42 jam ini menumpukan pada asas seperti sistem bunyi bahasa, pengenalan kepada bahasa serta perbualan ringkas yang merangkumi topik makanan, cuaca, arah dan nombor bagi membolehkan para KAT berkomunikasi dengan lebih efektif. Meskipun dijalankan secara dalam talian, peserta kursus ini melibatkan diri secara interaktif melalui perbincangan maya, lakonan main peranan, sesi latihan, simulasi dan pembelajaran bersepadu.
Setelah tamatnya program, para peserta meluahkan rasa puas hati dengan kebolehan dan ilmu yang mereka peroleh berserta suasana yang kondusif yang meningkatkan semangat dan keinginan mereka untuk belajar bahasa baharu untuk membantu mereka berkhidmat dengan lebih baik.
Pada 20 Ogos 2024, Dato Syed Mohamad Bakri Syed Abdul Rahman, Ketua Pengarah IDFR, menyampaikan ucapan penutup dan menganugerahkan Sijil Tamat dan Sijil Kehadiran Kursus kepada semua peserta melalui platfom Zoom.
Disediakan oleh:
Pusat Diplomasi Bahasa dan Budaya
Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri