Kursus Pra-Penempatan Untuk Pegawai-Pegawai Home Based serta Pasangan Siri 3/2024 (Gred 41 dan ke atas)
Kursus Pra-Penempatan Untuk Pegawai-Pegawai Home Based serta Pasangan Siri 3/2024 berlangsung dengan jayanya dari 23 Julai hingga 2 Ogos 2024. Kursus ini direka khas bagi pegawai-pegawai Gred 41 dan ke atas, bersama pasangan mereka bagi melengkapkan para peserta dengan pengetahuan dan kemahiran penting dalam diplomasi dan amalan diplomatik antarabangsa sebelum bertugas di Perwakilan Malaysia di luar negara.
Seramai 86 peserta dari pelbagai kementerian dan agensi kerajaan menghadiri kursus selama sembilan hari. Kursus komprehensif ini merangkumi pelbagai topik yang penting untuk tugasan masa depan mereka, termasuk inspektorat, garis panduan SPKM, pengurusan aset, audit dan kewangan, perakaunan, protokol, perkhidmatan konsular, keselamatan, dan kepentingan integriti dalam kedua-dua bidang profesional dan peribadi. Penampilan diri dan etika sosial juga telah disertakan bagi meningkatkan kemahiran interpersonal masing-masing. Para peserta juga telah diterapkan tentang kepentingan menjaga kesihatan mental semasa bertugas di luar negara kelak. Pengenalan satu sesi baharu mengenai Gastrodiplomasi – satu pendekatan inovatif yang menggunakan makanan sebagai cara untuk memupuk pemahaman budaya, membina hubungan, dan mengukuhkan kuasa lembut Malaysia di arena global.
Maklum balas positif yang menggalakkan daripada para peserta yang menyatakan kepuasan dengan kandungan dan aliran kursus adalah satu bukti kejayaan kursus SPKM 3/2024. Semasa majlis penutup, YBhg. Dato’ Agus Salim Yusof, Pengarah Pusat Kepimpinan, Perundingan, dan Diplomasi Awam mengucapkan terima kasih kepada kepada para peserta atas dedikasi mereka sepanjang kursus ini dan para penceramah atas pengetahuan dan pengalaman yang berharga yang dikongsikan. Beliau yakin bahawa pengetahuan dan keupayaan yang diterapkan dalam peserta akan memberikan impak positif dalam menjalankan tugas di luar negara kelak.