Pusat Kepimpinan, Perundingan dan Diplomasi Awam telah menganjurkan siri ketiga Kursus Pra-Penempatan bagi Pegawai Home-Based dan Pasangan, yang berlangsung dari 16 hingga 26 Jun 2025 di Wisma Putra, Putrajaya. Kursus ini melibatkan 68 orang peserta daripada pelbagai kementerian dan agensi, antaranya Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Jabatan Perdana Menteri, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Tourism Malaysia, Majlis Amanah Rakyat serta Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak.
Kursus selama sembilan hari ini dirangka untuk mempersiapkan para peserta bagi penempatan mereka ke luar negara dengan memberikan pengetahuan praktikal, kesedaran antara budaya, serta kemahiran diplomatik yang diperlukan. Sepanjang program ini, para peserta mengikuti pelbagai taklimat strategik, sesi interaktif, dan perbincangan yang membina berkaitan peranan Malaysia di luar negara, terutamanya dalam hal ehwal diplomasi, konsular dan pentadbiran di Perwakilan Malaysia.
Kursus ini telah melabuhkan tirainya dengan majlis penutup yang disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Agus Salim Yusof, Pengarah LNPD. Dalam ucapannya, Dato’ Agus merakamkan penghargaan kepada para peserta atas komitmen dan penyertaan aktif mereka, serta mengucapkan terima kasih kepada para penceramah, fasilitator, dan pasukan urus setia atas dedikasi dan usaha dalam menjayakan program ini. Maklum balas positif yang diterima daripada para peserta mengesahkan keberkesanan kursus ini dalam membekalkan pegawai dan pasangan mereka dengan kemahiran serta pengetahuan yang diperlukan untuk menjalankan tugas diplomatik dengan yakin dan cemerlang.