Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR) baru-baru ini telah menganjurkan Kursus Kepimpinan untuk Pegawai Junior yang pada 5 hingga 7 Ogos 2025. Kursus transformatif ini telah memberi inspirasi kepada ramai pegawai junior untuk keluar daripada zon selesa mereka dan berkembang menjadi pemimpin yang berkesan.
Dianjurkan oleh Pusat Kepimpinan, Perundingan dan Diplomasi Awam (LNPD), IDFR, kursus ini telah menghimpunkan 28 orang peserta dinamik daripada pelbagai kementerian dan agensi. Antara yang terlibat termasuklah Kementerian Luar Negeri, Kementerian Ekonomi, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Kementerian Pendidikan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Jabatan Perkhidmatan Awam, Jabatan Penjara Malaysia, serta Akademi Perkhidmatan Awam Negeri Johor.
Kursus ini direka bentuk untuk membolehkan para peserta membangunkan kompetensi kepimpinan yang penting dan menggilap potensi kepimpinan mereka, di samping membekalkan mereka dengan alat, Teknik, dan kemahiran khusus untuk menjadi pemimpin yang berkesan. Selain itu, kursus ini juga bertujuan meningkatkan keupayaan peserta agar mereka dapat mempercepatkan matlamat kepimpinan masing-masing dan memberi sumbangan berimpak tinggi kepada organisasi. Melalui sesi interaktif dan latihan kolaboratif, para peserta telah mempelajari cara menganalisis situasi yang kompleks, menilai pilihan, serta membuat keputusan yang tepat selaras dengan objektif organisasi.
Bagi memperkayakan lagi pengalaman pembelajaran, LNPD telah menjemput penceramah jemputan yang merupakan pakar dalam bidang kepimpinan dan pengurusan organisasi, selain pemain industri serta pemimpin dalam sektor korporat. Melalui perkongsian pengalaman, amalan terbaik, dan pengajaran yang diperoleh, para penceramah telah memberikan pandangan praktikal yang melengkapkan konsep teori serta pendekatan design thinking dalam kepimpinan dan diplomasi yang terkandung dalam silibus kursus. Secara keseluruhannya, Kursus Kepimpinan untuk Pegawai Junior ini telah mencapai kejayaan cemerlang dengan membekalkan bakal pemimpin masa depan knegara dengan alat serta keyakinan untuk memberi impak yang signifikan dalam bidang masing-masing.