
Pusat Kajian Politik dan Diplomasi Ekonomi (PSED) telah berjaya menjalankan Strategic and Security Analysis Course (SSAC) dari 30 Jun hingga 2 Julai 2025 di Kuala Lumpur. Kursus ini mengumpulkan 20 peserta dari gred 9 hingga 12 daripada pelbagai kementerian, agensi kerajaan dan pejabat setiausaha kerajaan negeri yang bertujuan untuk mempertajam pemikiran kritis dan kemahiran menyelesaikan masalah di kalangan pegawai kerajaan dalam skop dasar negara, luar negara serta dasar pertahanan dalam melaksanakan kemahiran membuat keputusan dengan lebih baik dalam dunia yang tidak menentu kini.
Modul di bawah kursus ini termasuk Malaysia’s Foreign Policy and Strategic Interests oleh Dato Westmoreland Palon (IDFR), Malaysia’s National Defence Policy and Strategy oleh Lt. Gen. Dato’ Seri Haji Muhammad Huzaimi Sabri (MiDAS), Tools for Strategic Analysis in Decision Making oleh Tuan Wan Fadzil Adlan, Pakar Perunding, Malaysia’s Strategic Goals for AI oleh Puan Noor Azwa Azreen (CyberSecurity Malaysia), Economic Security and Trade Wars oleh Dr Muhammed Abdul Khalid (IKMAS UKM), dan Strategic Communication in the Age of AI oleh Tuan Tillandran Achuthan, Pakar Perunding.
Sepanjang kursus ini, para peserta telah terlibat secara aktif dalam kuliah dan perbincangan kumpulan, di mana mereka diberi peluang untuk bertukar pandangan dan pendapat tentang dasar dan topik perbincangan. Mereka juga didedahkan kepada isu mengenai Kecerdasan Buatan dan keselamatan siber dan bagaimana teknologi digital menjadi semakin penting dalam dunia hari ini. Sesi dan aktiviti amali ini bukan sahaja memberikan peserta pemahaman yang lebih baik tentang ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi hari ini, tetapi juga lebih melengkapkan peserta dengan pengetahuan komunikasi dan kemahiran membuat keputusan yang lebih baik dalam menghadapi situasi dunia sebenar.
Pada hari terakhir, peserta telah dianugerahkan sijil penyertaan oleh Puan Maslina Mamud, Pengarah PSED, sebagai pengiktirafan terhadap kejayaan mereka menamatkan kursus ini.

