
Institut Diplomasi dan Hal Ehwal Luar Negeri (IDFR) telah berjaya menganjurkan Kursus Pemikiran Strategik dalam Rundingan dari 4 hingga 6 November 2025. Kursus anjuran Pusat Kepimpinan, Perundingan dan Diplomasi Awam (LNPD) ini telah diadakan di Bilik Sidang Akhbar, Wisma Putra, dan dihadiri oleh para pegawai daripada Kementerian Luar Negeri.
Kursus ini dirancang dengan teliti bagi memperkukuh keupayaan peserta dalam mengaplikasikan kerangka pemikiran strategik dalam proses membuat Keputusan yang baik dan berkesan dalam konteks diplomatik dan rundingan. Selain itu, peserta turut dilatih untuk merangka strategi rundingan yang selari dengan kepentingan nasional serta objektif dasar luar negeri; mengurus rundingan kompleks, sama ada dua hala mahupun pelbagai hala dengan menggunakan alat perancangan dan komunikasi yang berstruktur; serta mempertingkatkan kemahiran rundingan melalui simulasi praktikal. Menerusi gabungan perkongsian pengalaman oleh diplomat berpengalaman, kerangka analitikal, dan pembangunan strategi praktikal, para peserta telah berpeluang meneroka kaedah bagi menyelaraskan hasil rundingan dengan matlamat dasar yang lebih luas.
Secara keseluruhannya, Kursus Pemikiran Strategik dalam Rundingan ini telah mencapai kejayaan, di mana ia bukan sahaja memperkasa ilmu dan kemahiran peserta, tetapi juga menjadikan pegawai Wisma Putra untuk lebih bersedia dalam menghadapi cabaran global, memupuk kerjasama strategik, serta menyumbang secara efektif kepada pelaksanaan dasar luar dan kepentingan antarabangsa negara.

