
Pada 11 November 2025, Institut Diplomasi dan Hubungan Luar (IDFR), Kementerian Luar Negeri Malaysia, telah menganjurkan Siri Syarahan Tokoh IDFR bertajuk “Gaza: What’s Next?” yang disampaikan oleh Prof Dr Hisham A. Hellyer, Felo Kanan Bersekutu di Royal United Services Institute for Defence and Security Studies, United Kingdom. Moderator bagi program ini ialah Encik Sayed Munawar, seorang pengacara televisyen dan penerbit. Syarahan ini telah diadakan di Hotel Berjaya Times Square, Kuala Lumpur.
Syarahan Prof Hisham Hellyer menekankan bahawa asas konflik semasa adalah terletak pada pendudukan berterusan wilayah Palestin, yang dengan jelas ditakrifkan oleh undang-undang antarabangsa sebagai wilayah yang diduduki, di mana Israel wajib untuk berundur darinya. Dengan merujuk situasi di Gaza sebagai bersifat genosid, Prof Hellyer menyatakan bahawa skala kemusnahan di Gaza telah digambarkan jauh lebih rendah daripada hakikat sebenar. Beliau berhujah bahawa negara-negara Barat yang membekalkan senjata turut berkongsi tanggungjawab atas kemusnahan ini, walaupun tiada pertanggungjawaban yang dilaksanakan meskipun terdapat penemuan konkrit oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC). Beliau menjelaskan bahawa usaha normalisasi – terutamanya antara Arab Saudi dan Israel – telah berubah dengan ketara sejak 7 Oktober 2023, dengan Riyadh menekankan bahawa penubuhan sebuah negara Palestin sebenar mesti didahulukan sebelum sebarang perjanjian.
Beliau memberi amaran bahawa ‘20-point peace plan’ untuk Gaza adalah berisiko mengukuhkan pembahagian wilayah tersebut dan tidak selaras dengan kepentingan penyumbang antarabangsa. Beliau turut menyifatkan keadaan di Tebing Barat sebagai satu sistem aparteid yang dicirikan oleh pengilhakan beransur-ansur, serta menghuraikan kemunculan “Timur Tengah baharu” yang dibentuk oleh dominasi strategik Israel, seni bina keselamatan serantau yang lemah, sokongan kukuh Amerika Syarikat, dan penyebaran sikap prejudis anti-Arab dan anti-Muslim yang mempengaruhi dasar.
Semasa sesi soal jawab, para peserta mengemukakan beberapa soalan termasuk mengenai keberhasilan ‘20-point peace plan’ oleh pentadbiran Trump, ketidakselarasan dalam penerapan undang-undang antarabangsa, serta pengaruh Amerika Syarikat terhadap hasil serantau. Prof Hellyer menjawab persoalan-persoalan tersebut dan merumuskan bahawa tanpa pindaan substantif terhadap pelan semasa serta laluan politik yang kredibel untuk rakyat Palestin, maka penyelesaian yang mampan kekal sukar dicapai.
Program tersebut diakhiri dengan penyampaian cenderamata kepada penceramah dan moderator, disusuli dengan sesi bergambar berkumpulan bersama semua hadirin, termasuk wakil-wakil dari kementerian, agensi kerajaan, kedutaan dan suruhanjaya tinggi. Perbincangan tersebut sangat menarik dan mudah-mudahan bermanfaat kepada para peserta dari semua sektor.

