Sabtu, 17 Januari 2026

faq  contact us  feedback  Peta laman

Malaysian Technical Cooperation Programme (MTCP): Economic Diplomacy Course for International Participants

MTCPEDC2025 MAIN

Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR) telah menganjurkan Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP): Economic Diplomacy Course for International Participants 2024 dari 11 hingga 22 Ogos 2025. Kursus selama dua belas hari ini telah melibatkan seramai 13 peserta dari Kemboja, India, Indonesia, Kenya, Laos, Libya, Qatar, Namibia, Sri Lanka, Thailand, Timor-Leste dan Turkmenistan.

Melalui program ini, para peserta telah didedahkan dengan peranan Malaysia dalam hal ehwal global, memahami dasar luar, diplomasi dua hala dan pelbagai hala, serta Rangka Kerja Ekonomi MADANI dan amalan ekonomi ASEAN. Mereka juga mempelajari tentang penglibatan aktif Malaysia dalam perdagangan antarabangsa dan landskap geopolitik serta ekonomi yang berkembang. Di samping itu, para peserta memperoleh pencerahan yang mendalam daripada penceramah jemputan tentang sektor ekonomi penting bagi Malaysia seperti semikonduktor, minyak dan gas, automotif, dan minyak sawit, serta melalui kewangan Islam dan pelaburan yang mampan. Sesi ini melengkapkan peserta dengan pemahaman yang komprehensif tentang landskap ekonomi dan diplomatik Malaysia, sambil mengukuhkan kapasiti mereka untuk menyumbang kepada kerjasama global.

Para peserta juga berpeluang untuk menerokai landskap budaya, pentadbiran dan ekonomi Malaysia melalui beberapa lawatan sekitar Kuala Lumpur di mana mereka melawat tapak bersejarah dan pusat kebudayaan seperti Batu Caves, Pasar Seni, dan Menara KL, sambil turut menghargai pembangunan ekonomi Malaysia di Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia. Para peserta turut melawat pusat pentadbiran utama di Putrajaya termasuk Kementerian Luar Negeri. Selain itu, mereka juga menikmati sesi kulinari di Restoran Rebung bersama Cef Florence Tan bagi menyelami lagi identiti budaya Malaysia. Lawatan ini memberikan peserta pengalaman holistik tentang warisan, tadbir urus dan tradisi gastronomi Malaysia, sekaligus melengkapkan pengetahuan yang diperoleh daripada sesi pembelajaran di dalam kelas.

Sebagai kemuncak program, lawatan sambil belajar telah diadakan selama tiga hari dua malam ke Johor Bahru, di mana para peserta diberi taklimat oleh institusi terkemuka negeri tersebut tentang pertumbuhan dan pembangunan negeri Johor. Lawatan ini melibatkan sesi kunjungan hormat ke atas Akademi Perkhidmatan Awam Johor, Unit Perancang Ekonomi Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Pihak Berkuasa Pembangunan Wilayah Iskandar (IRDA), Invest Johor, dan Invest Malaysia Facilitation Centre Johor (IMFC-J). Para peserta juga dibawa melawat Forest City yang merupakan salah satu projek pembangunan Johor, sebelum mengakhiri perjalanan mereka dengan sesi khas tentang ekonomi maritim di Markas Pemerintahan Pasukan Simpanan Tentera Laut Diraja Malaysia.

Secara keseluruhan, para peserta memberikan maklum balas yang sangat baik tentang kursus dan menunjukkan tahap komitmen dan penglibatan yang tinggi sepanjang sesi berlangsung. Para peserta dianugerahkan dengan sijil penyertaan semasa majlis penutup atas komitmen dan kejayaan mereka menghadiri kursus ini. Turut hadir dalam majlis tersebut adalah TYT Muhammetnyyaz Mashalov (Duta Besar Turkmenistan); Encik Sonemixay Xaysongkham (Timbalan Ketua Misi Lao PDR); Encik Julius K. Bargorett (Timbalan Ketua Misi Kenya); Encik Danang Waskito (Timbalan Ketua Perwakilan Kedutaan Republik Indonesia serta wakil dari kedutaan Libya, Qatar dan Timor-Leste bagi meraikan peserta yang berjaya menamatkan kursus.

 

                  MTCPEDC2025 1 MTCPEDC2025 2 MTCPEDC2025 3

Disediakan oleh:
Cik Hanun Insyirah Ishak dan Cik Aida Yasmin Azhar
Pusat Kajian Politik dan Diplomasi Ekonomi (PSED)

yt

fbk

twt

int

tk