Sabtu, 17 Januari 2026

faq  contact us  feedback  Peta laman

Kursus Pra-Penempatan untuk Pegawai-Pegawai Home-Based serta Pasangan di Bawah Sistem Pentadbiran Kerajaan Malaysia di Luar Negara (SPKM 5/2025)

spkm52025 main

Institut Diplomasi dan Perhubungan Luar Negeri (IDFR) telah berjaya menjalankan Kursus Pra-Penempatan untuk Pegawai-Pegawai Home-Based serta Pasangan di Bawah Sistem Pentadbiran Kerajaan Malaysia (SPKM 5/2025) dari 4 hingga 14 November 2025. Seramai 81 peserta telah menghadirinya terdiri daripada Pegawai Kerajaan Malaysia dan pasangan masing-masing daripada pelbagai Kementerian dan Agensi. Program ini bertujuan untuk menyediakan peserta untuk penempatan di luar negara dengan mengukuhkan pemahaman mereka tentang hal ehwal pentadbiran misi, hal ehwal antarabangsa dan amalan diplomatik.


Slot utama urusan pentadbiran disampaikan dengan jelas oleh pegawai-pegawai Wisma Putra untuk perkara-perkara berkaitan inspektorat, konsular, protokol, dasar luar, akaun, kewangan dan audit. Pengarah Pusat Kepimpinan, Rundingan dan Diplomasi Awam (LNPD) IDFR telah memberikan penjelasan yang menarik tentang Konvensyen Vienna mengenai Hubungan Diplomatik (1961). Pembentangannya membantu para peserta memahami rangka kerja perundangan asas yang mengawal hubungan diplomatik, termasuk hak dan kewajipan diplomat. Para peserta tertarik dengan slot ceramah daripada seorang bekas diplomat yang berkongsi refleksi peribadi daripada penglibatan beliau dalam tragedi MH17, pelbagai perkongsian berkenaan pengajaran tentang pengurusan krisis dan penekanan aspek kemanusiaan dalam perkhidmatan diplomatik.


Kursus ini memperkenalkan sesi baharu mengenai Peranan Atase Pertahanan & Diplomasi Pertahanan, yang membincangkan kepentingan kerjasama pertahanan dan tanggungjawab pegawai pertahanan di kedutaan Malaysia. Satu slot baharu mengenai Aspirasi Pelaburan Nasional oleh MITI telah dimasukkan dalam siri ini untuk memberi penekanan kepada fokus pelaburan semasa Malaysia. Sesi interaktif dengan pegawai berpengalaman dari Tourism Malaysia, MIDA, MATRADE, EMGS, dan MPOB telah menarik perhatian peserta dalam mengumpul maklumat terkini tentang trend dan perkembangan semasa. Di samping itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia berkongsi perspektif beliau tentang integriti, etika, dan profesionalisme, melengkapkan pengetahuan praktikal daripada pakar lain.


Peranan pasangan suami isteri juga telah diberi penekanan, mengiktiraf sumbangan mereka kepada kejayaan dan kesejahteraan pegawai, dan memberikan pandangan tentang cabaran menyesuaikan diri dengan kehidupan di luar negara. Slot mengenai dandanan diri dan etika, dan etika makan malam, peranan pasangan dan kesedaran budaya telah disampaikan untuk mecapai objektif tersebut.


Peserta memberikan maklum balas yang sangat positif, dengan menyatakan bahawa pendekatan berstruktur, penceramah yang menarik dan cerapan praktikal meningkatkan keyakinan mereka untuk tugas mereka di luar negara. Kursus Pra-Penempatan untuk Pegawai-Pegawai Home-Based serta Pasangan di Bawah Sistem Pentadbiran Kerajaan Malaysia (SPKM 5/2025) mencerminkan komitmen berterusan IDFR dalam melengkapkan pegawai dan keluarga mereka untuk mewakili Malaysia secara berkesan, bertanggungjawab dan profesional di persada global.

                             spkm52025 1 spkm52025 2 spkm52025 3

yt

fbk

twt

int

tk