Sabtu, 17 Januari 2026

faq  contact us  feedback  Peta laman

Program Khas Kemahiran dan Pemantapan Bahasa Melayu bagi Kakitangan Ambilan Tempatan (PEKA BM KAT) Siri 2/2025

peka2 2025 main

Program Khas Kemahiran dan Pemantapan Bahasa Melayu bagi Kakitangan Ambilan Tempatan (PEKA BM KAT) Siri 2/2025 telah diadakan dari 12 Ogos hingga 30 Oktober 2025. Program ini direka khusus untuk kakitangan ambilan tempatan yang berkhidmat di Perwakilan Diplomatik Malaysia di luar negara. Program ini bertujuan memperkukuh kemahiran asas perbualan dalam Bahasa Melayu. Kursus ini dilaksanakan melalui platform dalam talian yang interaktif dan sesi latihan yang dijalankan telah memberi peluang kepada peserta untuk membina kefahaman yang lebih kukuh terhadap bahasa tersebut sambil meningkatkan penggunaannya dalam konteks praktikal. Kelas dikendalikan oleh guru Bahasa Melayu dan pelajar didedahkan dengan bahasa yang autentik.


Seramai 21 peserta dari Asia Tenggara dan Oceania termasuk Australia, Cambodia, China, Fiji, Jepun, Lao PDR, Myanmar, Papua New Guinea, Filipina, Taiwan, Thailand, Timor-Leste dan Vietnam telah menyelesaikan kursus selama 42 jam ini. Kurikulum kursus ini merangkumi komponen utama Bahasa Melayu seperti sebutan, pengenalan diri, dialog berkaitan makanan, memberi arah, menyatakan masa dan nombor, etika komunikasi telefon, kefahaman membaca serta pengisian borang rasmi. Bagi meningkatkan daya ingatan dan pemahaman pelajar, program ini turut mengintegrasikan pembelajaran berasaskan simulasi seperti lakonan peranan dan perbincangan interaktif yang menawarkan aplikasi pembelajaran dalam situasi sebenar.


Pada akhir program ini, para peserta berpuas hati dengan kursus yang dilaksanakan dan mereka melihat peningkatan yang ketara dalam kemahiran komunikasi Bahasa Melayu mereka. Mereka turut percaya bahawa peningkatan ini akan membantu mereka dalam melaksanakan tugas dengan lebih berkesan di Perwakilan Diplomatik Malaysia.


Pada 15 Disember 2025, Ambassador Gloria Tiwet, Pengarah Pusat Bahasa dan Diplomasi Budaya (CLCD), telah menyampaikan ucapan penutup serta menyampaikan Sijil Tamat Kursus dan Sijil Kehadiran secara online kepada semua peserta melalui platform Zoom. Majlis penutup turun dihadiri oleh peserta-peserta kursus, pegawai-pegawai dari IDFR, Bahagian Komunikasi dan Diplomasi Awam (BKDA), Bahagian Inspektorat Kementerian Luar Negeri, dan pengajar PEKA BM KAT) Siri 2/2025.

                          peka2 2025 1 peka2 2025 2 peka2 2025 3

yt

fbk

twt

int

tk