Pusat Kepimpinan, Perundingan dan Diplomasi Awam (LNPD), Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR), telah menganjurkan Kursus Pra-Penempatan untuk Pegawai dan Pasangan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dari 10 hingga 13 Jun 2025.
Kursus khas selama empat hari ini menghimpunkan seramai 16 orang peserta, terdiri daripada pegawai KPT dan pasangan mereka, dengan matlamat untuk mempersiapkan mereka menghadapi penugasan Perwakilan Malaysia di luar negara.
Para peserta telah mengikuti pelbagai sesi interaktif yang merangkumi pengetahuan asas mengenai amalan protokol, konsular, keselamatan integriti, kepelbagaian budaya dan sebagainya. Modul yang disusun rapi ini turut menekankan kepentingan tadbir urus yang berkesan, kecekapan operasi serta kesiapsiagaan perkhidmatan dalam konteks penempatan luar negara.
Kursus ini diakhiri dengan majlis penutup yang disempurnakan oleh Dato’ Agus Salim Yusof, Pengarah LNPD, yang memuji komitmen dan penglibatan aktif para peserta. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua penceramah atas dedikasi dan sumbangan mereka dalam menjayakan program ini.
Maklum balas yang diterima daripada peserta amat memberangsangkan. Ramai menyatakan bahawa kursus ini telah meningkatkan keyakinan dan kesiapsiagaan mereka untuk menggalas tanggungjawab di luar negara. Lebih daripada sekadar sesi orientasi, kursus ini menjadi wadah pembangunan profesional, perkongsian ilmu dan kerjasama antara institusi.

