Sabtu, 17 Januari 2026

faq  contact us  feedback  Peta laman

Foreign Language Level 1 Course for Malawakil Officials

fl2025 main

BAHASA ARAB
Kursus Bahasa Asing Tahap 1 bagi Kakitangan Malawakil 2025 untuk Bahasa Arab adalah program pengenalan yang dianjurkan oleh Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR). Diadakan dari 18 September hingga 6 November 2025, kursus ini meliputi 42 jam pengajaran yang disampaikan melalui 21 sesi secara atas talian. Seramai 8 peserta menyertai kursus ini, iatu mewakili Malawakil Yangon, Malawakil Amman, Malawakil Kunming, Malawakil Singapura, Malawakil Brunei, Malawakil Kathmandu serta pegawai dari Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra). Kursus ini memberi tumpuan kepada pembangunan kemahiran komunikasi asas Bahasa Arab untuk tujuan rasmi dan tidak rasmi, menggabungkan struktur bahasa asas, latihan perbualan praktikal dan pemahaman budaya bagi menyokong pegawai dalam tugasan berkaitan kerja dan interaksi harian.
Program ini menekankan penguasaan tatabahasa asas yang tepat, perbendaharaan kata penting serta strategi komunikasi fungsional bagi membina keyakinan peserta dalam penggunaan bahasa. Pada akhir kursus, peserta dapat memahami dan menggunakan ungkapan-ungkapan lazim yang berkaitan dengan keperluan segera, maklumat peribadi, situasi kerja dan rutin harian. Mereka juga mampu berkomunikasi serta bertukar maklumat ringkas secara langsung dan memberikan penerangan asas mengenai latar belakang, persekitaran serta perkara penting yang berkaitan. Secara keseluruhannya, kursus ini meningkatkan kesiapsiagaan profesional pegawai Malawakil dan warga kementerian, di samping memperdalam apresiasi mereka terhadap budaya, sejarah dan masyarakat di negara-negara penutur Bahasa Arab.

BAHASA SEPANYOL
Kursus Bahasa Asing Tahap 1 bagi Bahasa Sepanyol diadakan pada 18 September hingga 6 November 2025. Kursus ini memperkenalkan pegawai kepada asas-asas bahasa Sepanyol dan kursus ini telah diadakan selama 42 jam melalui 21 kelas secara atas talian. Seramai 20 peserta telah menyertai program ini, iatu daripada Malawakil Paris, Malawakil Lima, Malawakil Holy See, Malawakil Jakarta, Malawakil Ho Chi Minh City, Malawakil Hanoi, Malawakil Madrid, Malawakil Belgrade, Malawakil Tehran, Malawakil Abuja serta pegawai dari Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra). Kursus ini menyediakan pengenalan berstruktur kepada komunikasi asas, merangkumi tatabahasa penting, latihan sebutan dan konteks budaya bagi menyokong peserta dalam interaksi diplomatik dan komunikasi harian.
Menerusi latihan berstruktur dan sesi interaktif, peserta membangunkan keupayaan secara beransur-ansur untuk memahami frasa mudah, menyatakan keperluan asas dan berkomunikasi dalam aktiviti harian. Kursus ini menekankan kefahaman, kejelasan dan pembinaan keyakinan melalui penggunaan bahasa secara praktikal yang relevan untuk tujuan kerja, perjalanan dan komunikasi peribadi. Setelah kursus ini selesai, peserta berupaya menyampaikan penerangan yang ringkas tentang diri mereka, dan aktiviti dalam kehidupan seharian mereka dalam Bahasa Sepanyol. Inisiatif latihan ini juga bagi memperkukuh keanjalan linguistik dalam kalangan pegawai Malawakil, di samping memperluas penghayatan mereka terhadap masyarakat penutur bahasa ini dan kepelbagaian budaya Sepanyol.

BAHASA JERMAN
Kursus Bahasa Jerman Tahap 1 bagi Pegawai Malawakil 2025 telah berlangsung dari 18 September hingga 6 November 2025. Kursus ini merangkumi 42 jam pengajaran yang disampaikan melalui 21 sesi secara maya. Seramai 8 peserta telah mengikuti program ini yang terdiri daripada pegawai Malawakil Frankfurt, Malawakil Vienna serta pegawai dari Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra). Kursus ini direka bagi memperkenalkan peserta kepada bahasa Jerman di peringkat asas, dimana ia menggabungkan struktur linguistik asas dan aktiviti pertuturan secara praktikal serta mempunyai elemen budaya Jerman bagi menyokong peserta dalam tugasan profesional serta keperluan komunikasi harian.
Sepanjang program berlangsung, peserta menerima bimbingan sistematik bagi membina asas yang kukuh dalam tatabahasa, perbendaharaan kata yang lazim digunakan serta ungkapan fungsional yang relevan dalam konteks kerja dan interaksi peribadi. Pada akhir kursus, peserta berupaya memahami dan menggunakan frasa asas dan berkomunikasi secara ringkas. Peserta juga dapat memberikan penerangan ringkas berkaitan diri sendiri, persekitaran dan rutin harian yang dilaksanakan. Kursus ini menjadi platform yang penting dalam memperkukuh keupayaan linguistik pegawai Malawakil serta meningkatkan pemahaman mereka terhadap budaya masyarakat penutur bahasa Jerman.

BAHASA RUSIA
Kursus Bahasa Rusia Malawakil 2025 adalah program asas komprehensif yang telah dilaksanakan pada 17 September hingga 6 November 2025. Kursus ini merangkumi 42 jam pengajaran yang disampaikan melalui 21 sesi secara atas talian, dengan penyertaan 15 pegawai yang bertugas di Kedutaan dan Perwakilan Malaysia di luar negara (Malawakil). Para peserta mewakili Malawakil Vientiane, Malawakil Astana, Malawakil Baghdad, Malawakil Bangkok, Malawakil Ashgabat, Malawakil Moscow serta pegawai dari Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra). Program ini bertujuan untuk membekalkan pegawai dengan kemahiran komunikasi asas dalam konteks rasmi dan tidak rasmi, dengan memberi tumpuan pada struktur bahasa asas, latihan perbualan praktikal serta pendedahan kepada budaya Rusia. Ia turut menyokong peserta dalam meningkatkan kesiapsiagaan untuk tugasan berkaitan kerja, interaksi harian dan urusan perjalanan.
Kursus ini direka untuk membina keyakinan linguistik peserta melalui penggunaan tatabahasa yang tepat, pengaplikasian perbendaharaan kata yang bermakna serta latihan komunikasi yang tersusun. Pada akhir program, peserta dapat memahami dan menggunakan ungkapan yang lazim ditemui, menyatakan keperluan segera serta bertukar maklumat asas berkaitan tugasan kerja, urusan peribadi dan aktiviti rutin harian. Mereka juga berupaya memberikan penerangan ringkas mengenai latar belakang diri dan persekitaran. Secara keseluruhan, kursus ini dapat meningkatkan tahap kesiapsiagaan profesional pegawai Malawakil di samping memupuk penghargaan terhadap sejarah, budaya dan masyarakat di negara-negara penutur bahasa Rusia.

        fl2025 1 fl2025 2 fl

yt

fbk

twt

int

tk