
Pada 16 Jun 2026, Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR) telah melancarkan penerbitan terbaharu yang bertajuk "The Rising Sun: Timor-Leste’s Journey to Peace and Development" di Hilton Kuala Lumpur.
Penerbitan tersebut telah dilancarkan secara rasmi oleh YB Dato Lukanisman Awang Sauni, Timbalan Menteri Luar Negeri Malaysia, bersama TYT José Ramos-Horta, Presiden Republik Demokratik Timor-Leste, dan disaksikan oleh Dato' Zainol Rahim Zainuddin, Ketua Pengarah Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR), dan Encik Simon Fellows, Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Suruhanjaya Tinggi Australia di Malaysia.
Bersempena dengan majlis pelancaran buku ini, turut diadakan syarahan umum yang disampaikan oleh Presiden Republik Demokratik Timor-Leste bertajuk "Navigating Turbulent Times, Pursuing Peace". Dalam syarahan tersebut, Presiden Ramos-Horta berkongsi pandangan serta refleksi beliau mengenai usaha mengharungi cabaran geopolitik melalui keberanian, empati dan kepimpinan yang berprinsip.
Buku ini merupakan hasil kerjasama penyelidikan tiga hala antara Malaysia, Australia dan Timor-Leste. Ia mendokumentasikan perjalanan Timor-Leste daripada konflik kepada keamanan dan pembangunan, dengan mengetengahkan usaha kolektif pemimpin tempatan, komuniti di Timor-Leste serta penglibatan negara-negara jiran seperti Malaysia dan Australia dalam menyokong proses pembangunan keamanan di Timor-Leste.
Penerbitan ini dihasilkan oleh Penyelidik Pakar IDFR, Dr Murni Wan Mohd Nor, dan Pegawai Penyelidik IDFR, Nurul Farhah Ab Aziz.

Disediakan oleh
Puan Nurul Farhah Ab Aziz
Pusat Kajian Politik dan Diplomasi Ekonomi (PSED)
