Isnin, 20 Julai 2026

faq  contact us  feedback  Peta laman

Malaysian Technical Cooperation Programme (MTCP): Diplomatic Training Course for International Participants

mtcp dtc2026 main

Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR) telah menganjurkan Diplomatic Training Course for International Participants di bawah kerangka Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP) dari 11 hingga 20 Mei 2026. Kursus ini dihadiri seramai 15 orang pegawai diplomatik dari Bosnia dan Herzegovina, Brazil, Mesir, Indonesia, Kenya, Laos, Maldives, Mexico, Moldova, Myanmar, Nepal, Palestin, Timor-Leste, Türkiye dan Ukraine.


Dirangka untuk memberikan pemahaman menyeluruh tentang pengendalian diplomatik dan kepakaran praktikal, modul kursus ini merangkumi pelbagai topik yang bertujuan untuk memperkasakan kemahiran dan kompetensi penting dalam bidang diplomasi.


Para peserta telah terlibat dalam sesi perbincangan bersama pegawai-pegawai kanan Wisma Putra yang berkongsi pandangan mengenai dasar luar Malaysia, amalan hubungan dua hala dan pelbagai hala, penglibatan bersama ASEAN, serta peranan diplomasi awam Kementerian. Kursus ini turut menyentuh komponen diplomasi ekonomi, dengan fokus terhadap pasaran minyak sawit Malaysia dan usaha pembangunan mampan. Selain itu, pakar dan penceramah berpengalaman turut dijemput untuk mengendalikan sesi interaktif mengenai kompetensi teras diplomatik, termasuk perundingan antarabangsa, protokol, etiket diplomatik, dan strategi pengurusan.


Selain pembelajaran di dalam kelas, para peserta berpeluang melawat pusat pentadbiran dan mercu tanda budaya utama di Putrajaya dan Kuala Lumpur, termasuk Masjid Putrajaya, Dataran Putrajaya, Batu Caves, Menara Berkembar Petronas, Menara Kuala Lumpur, Pasar Seni, Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), dan Kompleks Kraf Kuala Lumpur.


Para peserta juga telah mengikuti lawatan sambil belajar selama tiga hari ke Pahang yang diketuai oleh Puan Maslina Ngah Mamud, Pengarah Pusat Kajian Politik dan Diplomasi Ekonomi, IDFR. Lawatan ini memberi peluang kepada peserta untuk mendapatkan gambaran jelas secara langsung mengenai kerjasama ekonomi dan antarabangsa negeri tersebut melalui sesi taklimat dan rangkaian jaringan bersama pegawai daripada Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), dan Kuantan Port di Malaysia–China Kuantan Industrial Park (MCKIP).


Di samping itu, para peserta turut diberikan taklimat mengenai perancangan bandar yang strategik di Menara Kuantan 188 serta pembangunan mampan oleh kerajaan negeri semasa pelayaran sungai (river cruise) yang menyusuri Sungai Kuantan. Mereka juga menyelami kekayaan warisan budaya Pahang dengan melawat pusat kebudayaan seperti Natural Batik Village, Pusat Tenun Diraja Kg. Soi, serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan termasuk pengusaha keropok lekor dan Pusat Kraf dan Bazaar Serambi Teruntum.


Kursus ini menerima maklum balas yang amat positif, mencerminkan komitmen tinggi dan penglibatan aktif daripada semua peserta. Program ini diakhiri dengan Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil bagi meraikan kejayaan para peserta menamatkan kursus selama 10 hari tersebut. Majlis berkenaan telah diserikan dengan kehadiran PYT Daniella Ortega de Paiva Menezes (Duta Besar Brazil), PYT Dr. Mariyam Shabeena Ahmed (Pesuruhjaya Tinggi Maldives), TYT Luis Javier Campuzano (Duta Besar Mexico), TYT Jehad Alqedra (Duta Besar Palestin), dan TYT Dr. Hennadii Nadolenko (Duta Besar Ukraine). Turut hadir ialah wakil daripada Kedutaan dan Suruhanjaya Tinggi Bosnia dan Herzegovina, Mesir, Indonesia, Kenya, Laos, Nepal, Timor-Leste, dan Türkiye; Ketua-Ketua Pusat IDFR; serta pegawai-pegawai dari Wisma Putra dan IDFR.

                                 mtcp dtc2026 1 mtcp dtc2026 2 mtcp dtc2026 3

Disediakan oleh:
Cik Hanun Insyirah Ishak
Pusat Pengajian Politik dan Diplomasi Ekonomi (PSED)

fbk

twt

int

tk

yt